Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata Malaysia sedang melaksanakan usaha penstrukturan semula secara berterusan dalam menghadapi iklim ekonomi yang mencabar.

“Kerajaan sekarang dalam proses penstrukturan dan ia sesuatu yang perlu dilakukan bagi menyerap kejutan global atau memastikan ketidaktentuan kewangan pada masa depan dapat ditangani.

"Bagaimanapun, kerajaan kekal yakin bahawa polisi dan dasar baru yang akan dilaksanakan bakal mengukuhkan asas keseimbangan dengan perbelanjaan berhemah serta memastikan sektor swasta terus diperkasakan,” katanya ketika berucap di Persidangan Tahunan Persekutuan Penganalisis Teknikal Antarabangsa Ke-31 di Pusat Konvesyen Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir dalam ucapannya turut menyebut mengenai cabaran dalam perang perdagangan antara kuasa ekonomi besar China dan Amerika Syarikat .

Hadir dalam persidangan itu adalah para pengawal selia pasaran, pengurus dana lindung nilai, penganalisis pelaburan, pemaju sistem dan pelabur dari Malaysia dan luar negara.

Menjelang pembentangan bajet pertama Pakatan Harapan (HARAPAN) minggu depan, Mahathir juga memberi jaminan kepada pelabur bahawa sebarang dasar baru yang diperkenalkan dalam Bajet 2019 tidak akan merugikan sektor perniagaan.