JIM nafi hasut siswa UUM jadi militan
Kertas kerja mengenai jihad yang dibentangkan kepada sekumpulan pelajar tidak mengandungi hasutan agar mereka bersikap militan, jelas presiden Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) hari ini.
"Itu tidak benar, kenyataan naib canselor (Universiti Utara Malaysia) itu salah," kata Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom, mengulas laporan akhbar Utusan Malaysia minggu lalu yang menyebut universiti itu kini sedang menyiasat empat pelajar dan seorang pensyarah berhubung pembabitan dengan "gerakan bawah tanah."
Naib Canselor UUM Datuk Dr Ahmad Fawzi Basri dilaporkan berkata, gerakan itu dikesan di kampus itu selepas rampasan beberapa risalah, termasuk kertas kerja yang dibentang pada 30 Oktober lalu di Pulau Pinang.
Dalam laporan itu, Ahmad Fawzi berkata: "Kertas kerja yang dirampas itu menyebut jihad di Malaysia memerlukan keberanian menyatakan kezaliman yang berlaku, mendedahkan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa dan penyelewengan hak rakyat yang menjadi-jadi hatta bukan mustahil sampai ke tahap penggunaan kekerasan dan senjata."
Untuk menyokong hujahnya, Mohamed Hatta mengedar kertas kerja itu dan membaca petikan sebahagian kandungannya di sidang media di pejabat JIM tengahari tadi.
Antara lain, kertas itu menyebut: "Saya (penulis kertas kerja) ingin memperingatkan anda bahawa jihad memperjuangkan penegakan sebuah negara Islam tidak semestinya dengan mengangkat senjata.
"Jihad ini mestilah melakukan sesuai dengan tuntutan semasa dan setempat. Dalam konteks negara kita yang mengamalkan sistem demokrasi, jihad yang kita perlukan ialah memberi kesedaran kepada rakyat bahawa hanya Islam yang mampu menyelesaikan masalah ummah.
Penyelewengan hak rakyat
"Jihad di negara ini memerlukan keberanian menyatakan kezaliman yang berlaku, mendedahkan penyalahgunaan kuasa yang berleluasa, penyelewengan hak rakyat yang sudah menjadi rahsia umum. Walaupun bukan mustahil, saya berpendapat jihad di negara kita belum sampai ke tahap penggunaan kekerasan dan senjata."
Kertas bertajuk 'Ke arah Pemantapan Mahasiswa Du'at' disampaikan oleh perunding syariah pertubuhan itu dan juga bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Alias Othman.
Menurut Mohamed Hatta, cubaan mengaitkan nama pertubuhan itu dengan tuduhan militan adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab. "Sebarang andaian atau kenyataan yang mengaitkan pertubuhan ini dengan pendekatan militan adalah tohmahan dan fitnah yang tidak berasas," jelasnya.
Naib canselor itu dilaporkan berkata: "Apa yang kita bimbangkan ialah adanya unsur-unsur bawah tanah yang mula bergerak sekarang di kampus-kampus berikutan terdedahnya kegiatan kumpulan militan KMM kebelakangan ini."
Mohamed Hatta tidak menolak kemungkinan JIM mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak terbabit.
"Kami akan meneliti tuduhan yang mencetuskan isu ini dari sudut undang-undang," katanya.
'Rasa gelisah'
Menurutnya lagi, pertubuhan itu belum dapat memastikan sama ada pelajar dan pensyarah yang dimaksudkan itu ahli JIM kerana masih menunggu salinan kenyataan akhbar rasmi yang dikeluarkan UUM.
Sementara itu, Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM) hari ini mendakwa laporan akhbar, yang menyebut kampus itu diresapi kumpulan militan, boleh "menimbulkan rasa gelisah" di kalangan pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan tidak lama lagi.
"Mana-mana pihak tidak sewajarnya membuat sebarang tuduhan dan kenyataan yang membabitkan pelajar UKM dengan sebarang tuduhan dan kenyataan ... jika hanya bersumberkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kebenarannya," kata presidennya Mahadi Sukarno.
PMUKM juga melahirkan rasa "terkejut dan kesal" dengan laporan itu.
Akhbar Berita Harian semalam turut melaporkan kumpulan itu dikesan berikutan penemuan sejumlah risalah dan cakera padat video (VCD) mengenai pergerakan itu, yang didakwa militan, di bilik seorang pelajar.
Pemeriksaan itu dibuat selepas pelajar terbabit ditahan polis kerana terbabit dengan perhimpunan di perkarangan Masjid Negara pada Jun. Pelajar tahun dua fakulti Pengajian Teknologi dan Sains Maklumat itu kini digantung pengajiannya.
Bagaimanapun persatuan pelajar itu mengkritik laporan itu. "PMUKM menyelar cubaan mana-mana pihak untuk mengaitkan kepimpinan mahasiswa UKM dengan sebarang aktiviti keganasan dan militan," kata Mahadi.

