Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PEMILIHAN PKR | Rafizi Ramli mengingatkan bahawa sebarang tuduhan mengaitkan kumpulannya dengan amalan politik wang tidak memberi kesan ebaliknya hanya akan memakan diri pesaingnya.

Memetik dakwaan politik wang di Sungai Siput, Rafizi berkata, apa yang berlaku ke atas regunya S Kesavan di cabang berkenaan memang dirancang.

"Kalau tengok dalam kes Kesavan di Sungai Siput, it was a pure set-up.

"Ada seorang ibu datang berjumpa beliau meminta bantuan kerana anak dia kanser, dia miskin dan sebagainya.

"Kesavan keluarkan cek pusat khidmat (untuk membantu). Sesiapa yang waras tentu faham kalau nak beli undi kamu tak keluarkan cek guna nama pusat khidmat, kan?" katanya.

Pada 26 Okt Kesavan menafikan dia menawarkan wang RM500 kepada seorang anggota PKR sebagai habuan bagi mendapatkan undi baginya,

Butiran dakwaan itu diperincikan dalam satu laporan polis dibuat anggota PKR Sungai Siput, Rohaida Awang, pada malam sebelumnya.

Semua mesti tolak

Dalam aduannya Rohaida berkata dia diminta pergi ke pusat khidmat Kesavan dan di situ dia diberi sekeping cek bernilai RM500.

Wanita terbabit kemudian menunaikan cek tersebut sebelum membuat aduan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Ketika itu Kesavan memberitahu dia tidak sedar Rohaida turut bertanding untuk jawatan naib ketua Wanita PKR di cabang sama dan mewakili kumpulan berasingan.

S Kesavan

Rafizi yang menjadikan anggota parlimen Sungai Siput itu sebagai calon naib presiden untuk kumpulannya berkata anggota PKR sendiri tahu apa yang berlaku dalam pemilihan parti berkenaan sekarang.

"Anggota-anggota PKR di bawah tahu siapa yang bawa duit dan sebagainya.

"Saya cuma penganggur, tak ada kapasiti menawarkan jawatan wang dan sebagainya," kata Rafizi yang menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden PKR.

Jawatan itu kini disandang Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali.

Selain Kesavan antara tokoh yag menyertai kumpulan Rafizi ialah beberapa wakil rakyat termasuk Datuk Johari Abdul (MP Sungai Petani), Fuziah Salleh (MP Kuantan) dan Akmal Nasir (MP Johor Bahru).

Menurut Rafizi kemenangan di Perak adalah bukti bagaimana anggota PKR dapat membaca apa yang berlaku dalam parti itu lalu memberikan sokongan kepadanya.

Walaupun begitu bekas anggota parlimen Pandan itu memberitahu dia berpuas hati apabila ramai pemimpin PKR - termasuk Azmin dan Datuk Seri Anwar Ibrahim - menyuarakan penolakan mereka terhadap amalan politik wang.

"Benda ni tak elok dan kita mesti menolaknya.

"Dan saya harap apa juga keputusan pemilihan sekarang parti mesti melihat isu ini secara serius supaya kita boleh merumuskan kaedah mengetatkan peraturan pemilihan pada masa depan," katanya yang ditemui di Pandan hari ini.

Lihat Komen
ADS