Umno berpendapat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini makin terdesak sehingga salah seorang pemimpinnya sanggup membuat andaian "tidak benar" mengenai Umno.

Ketua Penerangan Umno Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata kenyataan dibuat Datuk A Kadir Jasin semalam membayangkang kebimbangan BERSATU yang hanya memiliki 13 kerusi di Dewan Rakyat.

Pada masa sama kata Shamsul Anuar BERSATU kian gusar apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim kini kembali ke parlimen dan memungkinkan berlaku kemelut jawatan perdana menteri.

"Oleh kerana itu beliau (A Kadir) terpaksa menyatakan 40 anggota parlimen Umno akan meninggalkan parti untuk menyertai BERSATU," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Anuar bertegas pandangan A Kadir mengenai isu itu tidak lebih daripada provokasi yang tidak masuk akal.

"Malah kenyataan pimpinan BERSATU itu juga jelas menunjukkan sudah ada persaingan dan perlumbaan membina pengaruh di antara BERSATU, PKR dan parti lain dalam kerajaan Pakatan Harapan.

"Semua ini ekoran kehadiran Anwar.

"Sebab itu kenyataan A Kadir adalah gambaran tentang perancangan pimpinan BERSATU mahu menyekat kemaraan Anwar untuk mengambil alih jawatan perdana menteri," katanya.

Justeru Shamsul Anuar yang juga anggota parlimen Lenggong menasihatkan Anwar supaya berhati-hati dalam dan bertindak sebelum terlambat.

Semalam Malaysiakini melaporkan A Kadir sebagai berkata Datuk Seri Mustapa Mohamed bukanlah anggota parlimen terakhir dari Umno yang akan menyertai BERSATU.

Kata bekas ketua pengarang kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd itu beliau mendengar khabar angin ada sehingga 40 anggota parlimen Umno akan bertindak seperti Mustapa.

"Dan mungkin sebahagian dari mereka akan menyertai BERSATU," kata salah seorang anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu kepada Malaysiakini


Baca KJ salahkan Zahid kerana Tok Pa keluar Umno


Shamsul Anuar berkata anggota Umno dinasihat tidak terpengaruh dengan kenyataan dibuat A Kadir.

Bahkan kata Shamsul Anuar beliau yakin anggota parlimen Umno sentiasa setia kepada parti berkenaan.

Untuk rekod sebelum Mustapa meninggalkan Umno beberapa anggota parlimen parti itu sudah terlebih dulu bertindak demikian.

Antaranya ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) dan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bahan Serai).

Bekas menteri kanan Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis) pula mengumumkan langkahnya meninggalkan Umno kurang dari 24 selepas Mustapa berbuat demikian.

Sementara itu Ketua Wanita Umno Datuk Dr Noraini Ahmad turut percaya kepada kesetiaan anggota parti itu dan tidak sesekali mengambil keputusan yang boleh membawa kehancuran pertubuhan tersebut.

Kata anggota parlimen Parit Sulong itu kenyataan A Kadir semalam hanya bertujuan menggugat kesepaduan dan kejituan Umno.

"Kenyataan A Kadir itu adalah antara perang psiko yang bertujuan untuk menggugat kesepaduan dan kejituan parti.

"Wanita Umno percaya kenyataan berkenaan mahu menjadikan Umno lemah dan berpecah.

"Kita perlu insaf bahawa parti dalam keadaan yang sangat getir dan fokus utama pada masa ini ialah membangkitkan semula Umno dengan mengutamakan penyatuan dalaman," katanya.