'Ada nama hilang dalam senarai, dipindah tempat mengundi'
PEMILIHAN PKR | Seorang anggota jawatankuasa PKR Ampang hari ini mendakwa terdapat beberapa masalah dalam senarai pengundi melibatkan anggota parti cabang itu.
Mohd Kamal Ahmad berkata sejumlah anggota mendapati nama mereka dipindahkan untuk mengundi di Pandan, manakala ada juga yang langsung hilang dalam senarai pengundi.
"Pada pemilihan lalu mereka mengundi di Ampang, tetapi hari ini mereka dapat tahu nama mereka telah dipindahkan ke Pandan.
"Ada juga yang mengadu keanggotaan mereka hilang walaupun dahulunya mengundi di sini," katanya ketika ditemui pemberita pusat mengundi di Dewan Nusa Bakti, Ampang, hari ini.
Bagi anggota yang tiada nama dalam senarai mengundi, mereka perlu mengisi borang ragu sebelum membuang undi dan undi mereka akan dinilai semula oleh jawantankuasa pemilihan pusat (JPP), sama ada untuk dikira atau tidak.
Ketika ditanya sama ada aduan itu dibawa ke JPP, Kamal berkata JPP sepatutnya sedia maklum dengan perkara itu kerana borang 11 (untuk pengundi ragu) diserahkan kepada anggota oleh mereka sendiri.

Kamal (gambar) mendakwa terdapat kira-kira 100 aduan seumpama itu di pusat mengundi di Ampang yang diterimanya.
Selain masalah itu, pemilihan PKR peringkat Ampang turut berdepan masalah teknikal pada tablet yang digunakan untuk mengundi, menyebabkan pemilihan tertangguh selama sejam pagi tadi.
Penyandang ketua cabang Ampang yang menang tanpa bertanding, Zuraida Kamaruddin mengakui berlakunya perkara itu dan berkata ia mungkin disebabkan masalah teknikal.

"Ya memang ada kes tertukar tempat mengundi.
"Senarai pengundi itu sendiri kita pertikai kerana tidak bersih dan tidak dikemas kini. Ada beberapa isu yang tidak dikendali dengan baik," katanya.
Beliau berkata aduan telah dibuat kepada pihak yang bertanggungjawab agar ia dapat diselesaikan.
Pemilihan PKR Ampang hari ini berjalan lancar walau dicemari beberapa insiden tegang, antaranya pertelingkahan antara penyokong penyandang Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan penyokong lawannya Rafizi Ramli, berhubung isu pengedaran risalah di pusat mengundi.
Pertikaman lidah antara dua kumpulan itu juga beberapa kali terjadi tetapi tidak melarat apabila Zuraida yang berada di situ menenangkan keadaan.

