Tiada masalah mana-mana anggota parlimen Umno yang keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan, kata naib presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).

Bagaimanapun, kata Datuk Mahfuz Omar, pemimpin itu harus mempunyai “kesedaran yang tinggi” seperti dua pemimpin kanan Pakatan Harapan – Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mereka ini (Mahathir dan Anwar) dulu pun pemimpin daripada Umno,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen, hari ini.

“Dan kalau (kesedaran) itu ada bagi saya tak ada masalah untuk mereka menyertai mana-mana parti, sama ada BERSATU, AMANAH, PKR atau mungkin DAP.”

Mahfuz mengulas kenyataan Pengerusi DAP Tan Kok Wai bahawa amalan parti komponen HARAPAN menerima anggota parlimen yang pernah berada dalam Umno sebagai "tidak sihat".

Perbincangan itu timbul kembali setelah bekas pemimpin kanan dan bekas menteri Umno Datuk Seri Mustapa Mohamed menyertai BERSATU pada hujung minggu lepas.

Namun, Mahfuz yang juga timbalan menteri sumber manusia menegaskan kemasukan tersebut harus dibuat tapisan agar tidak menimbulkan kemarahan rakyat.

“Tapi bagi saya sudah tentulah dalam semua itu harus punyai tapisan-tapisan yang lebih mendalam supaya tidak menimbulkan kemarahan rakyat.

“Mereka-mereka yang mempunyai baggage (beban) yang besar saya fikir biarlah mereka terus berada dalam Umno,” katanya.

Beliau berkata golongan sebegini boleh kekal setahun dua sebagai anggota bebas bagi menunjukkan komitmen untuk diterima selepas itu.