AMANAH: Kita guna harta k’jaan tapi kita bayar
PARLIMEN l Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menafikan dakwaan penyalahgunaan kuasa yang dikaitkan dengan sebuah majlis AMANAH yang diadakan di premis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam.
Bertentangan dengan dakwaan bahawa partinya mengadakan majlis menggunakan dewan DBKL secara percuma, Khalid berkata premis itu disewa oleh AMANAH, Wilayah Persekutuan.
“Biasalah, banyak dewan-dewan boleh disewa yang milik DBKL.
“Pada semalam dewan itu telah disewa oleh AMANAH Wilayah Persekutuan untuk melancarkan pejabat barunya.
“Pejabat barunya kecil, kita tidak mempunyai dewan besar, dan oleh kerana itu kita terpaksa menyewa dewan di luar,” katanya Khalid ketika menjawap dakwaan bekas ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Razlan Rafii.
“Kita sewa, bukan kita guna secara percuma. Itu budaya Umno, bukan budaya kita.
“Kita guna harta kerajaan tapi kita bayarlah. Seperti yang sepatutnya,” kata Khalid.
Razlan dalam ciapan di Twitter semalam mendesak pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk menyiasat dakwaan penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan Pakatan Harapan.
Beliau juga mengingatkan HARAPAN agar tidak membuat perbandingan dengan BN, kerana ia berjanji untuk menamatkan amalan sedemikian jika membentuk kerajaan.

