Datuk Seri Mustapa Mohamed terus menjadi sasaran kecaman pemimpin Umno selepas beliau sah menjadi anggota parti kerajaan sejak 26 Okt lalu.
Hari ini anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, tampil mempersoalkan sama ada Mustapa benar-benar mempunyai sumbangan kepada rakyat terutamanya di Kelantan.
Menurut Tajuddin, memang Mustapa pernah menjadi menteri sebelum ini namun anggota parlimen Jeli terbabit didakwanya tidak membantu orang Melayu dan bumiputera sehingga mereka tetap ketinggalan dalam bidang perniagaan dan industri.
“Tok Pa (Mustapa) percaya masuk BERSATU kononnya dapat berkhidmat lebih baik kepada pengundi dan rakyat Kelantan namun realitinya, biar masa akan menentukannya.
“Dia pernah menjadi menteri untuk satu masa yang panjang. Semasa dia dalam kerajaan sebelum ini sebagai menteri, apa yang berlaku dalam tempoh masa itu?
“Dia pernah jadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, apa yang dia buat terutamanya dalam membantu orang Melayu dan Bumiputera?” soalnya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.
Tajuddin juga mendakwa beliau tidak nampak ada sebarang kejayaan dibawa Mustapa sepanjang tempoh berkhidmat termasuklah semasa menjadi menteri.
Keluar selepas muktamar
Katanya lagi, untuk berkhidmat kepada masyarakat seseorang wakil rakyat tidak semestinya perlu berada dalam kerajaan.
Sebaliknya kata Tajuddin kekal dalam pembangkang juga tetap seseorang wakil rakyat masih boleh berkhidmat.

“Itu bukan salah kerajaan Barisan Nasional, beliau dilantik untuk menerajui banyak kementerian tetapi tidak melakukannya.
“Tengoklah nanti, masa akan menentukan sama ada beliau dapat memenuhi jangkaan yang telah diletakkan terhadapnya," katanya yang juga anggota parlimen Pasir Salak.
Mustapa ialah tokoh yang tidak terpalit dalam sebarang skandal atau kontroversi.
Baca KJ salahkan Zahid kerana Tok Pa keluar Umno
Sebelum ini beliau pernah dilantik menjadi Pengerusi Umno Kelantan dan pernah dibayangkan akan menjadi menteri besar negeri itu jika PAS berjaya dapat dikalahkan.
Ketika Umno mencari-cari tokoh yang sesuai untuk dilantik menjadi presiden selepas Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan, nama Mustapa antara yang selalu disebut.
Beliau bagaimanapun tidak mencalonkan diri untuk jawatan tersebut.
Pada 18 Sept Mustapa mengejutkan ramai apabila mengumumkan untuk keluar Umno dan menjadi anggota parlimen bebas. Langkah itu dibuat selepas Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan rombongannya hadir ke muktamar PAS - parti yang mentadbir Kelantan sejak 1990.
Mustapa menyerahkan borang keahlian BERSATU kepada pengerusi parti itu Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lepas.
