Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jumlah 300,000 gay perlu diperhalusi lagi - menteri

Jumlah 310,000 gay yang dikenal pasti perlu diperhalusi lagi kerana tidak semua daripada mereka terus terlibat dengan “kegiatan songsang”, kata menteri agama.

Datuk Seri Mujahid Yusof berkata terdapat golongan itu yang hanya mempunyai kecenderungan dan ada juga yang telah meninggalkan gaya hidup sedemikian.

“Kita tidak boleh kata lebih 300,000 itu semua terlonggok dalam perkara yang mereka telah lakukan. Yang disebut bilangan itu kita kena pecahkan lagi.

“Isunya ada mereka ada keinginan (gay) tetapi tidak semestinya mereka buat. Kita jangan ambil secara umum dengan mengatakan (jumlah) itu buat salah.

“Daripada jumlah itu ada yang mempunyai keinginan sahaja jadi kita tangani dari awal.

“Ada yang terlibat perbuatan songsang itu dan dia sedar ia tidak betul dan mereka balik semula,” katanya semasa sidang media di lobi parlimen hari ini.

Pakar isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini berkata jumlah gay di Malaysia dianggarkan berjumlah 310,000.

Katanya, berdasarkan Statistik Kementerian Kesihatan, hanya terdapat sebanyak 173,000 orang pada lima tahun lalu.

Bagaimanapun, Mujahid berkata, kerajaan akan menangani isu tersebut secara proaktif dan positif.

Sementara itu diminta mengulas mengenai pembentangan bajet yang akan dibentangkan Jumaat ini, Mujahid berharap portfolio hal ehwal agama diberikan peruntukkan lebih.

“Peruntukkan itu akan diberi keutamaan kepada dasar tahfiz negara,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Lihat Komen
ADS