Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak bersetuju dengan kenyataan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berhubung penerimaan bekas anggota parlimen Umno dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Tan sebelum ini menyifatkan tindakan menerima bekas anggota parlimen Umno yang lompat parti sebagai "tidak sihat".

Syed Saddiq bagaimanapun berkata kenyataan Tan itu "tidak betul" kerana menurutnya, penerimaan bekas pemimpin sesebuah parti dalam kompenan HARAPAN mempunyai sebab tersendiri.

"Perkara tersebut perlu dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. Tetapi, saya rasa tak betul untuk Tan Kok Wai mengeluarkan kenyataan seperti itu sebelum dibincangkan dengan perdana menteri.

"(Penerimaan bekas anggota parlimen Umno dalam HARAPAN) ada sebab tersendiri. Sebagai contoh kita lihat (Presiden AMANAH) Mohamad Sabu sendiri berkata bahawa penyertaan Tok Pa (Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed) akan memberi sinaran baru di Kelantan.

“Dan dalam bab ini sepatutnya kita bergerak ke hadapan bersama dan perbincangannya juga harus bersama juga,” katanya kepada Malaysiakini di lobi parlimen, hari ini.

Pertikaian berhubung isu itu timbul selepas Mustapa atau Tok Pa mengumumkan menyertai BERSATU pada Jumaat lalu.

September lalu, Mustapa yang juga bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri meninggalkan Umno selepas lebih 40 tahun bersama parti itu.

Sebelum Mustapa beberapa pemimpin Umno turut keluar parti, antaranya ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), dan Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis).

Diminta mengulas lanjut, Syed Saddiq menegaskan bahawa bekas anggota parlimen Umno yang pernah disabitkan kesalahan rasuah tidak akan diterima menyertai BERSATU.

“Seperti yang Tun Mahathir dah tekankan sebelum ini bagi mereka yang disabitkan kesalahan dibawah SPRM itu kita tak boleh terima," katanya.