Terjemahan Para pemimpin Umno menaruh harapan agar Datuk Mahdzir Khalid yang dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang baru, akan membawa Kedah ke mercu kejayaan yang lebih tinggi.

Mereka menyifatkan Mahdzir sebagai pemimpin 'kampung' yang pertama dilantik menerajui kerajaan Kedah dan berharap beliau memanfaatkan sepenuhnya hubungan rapatnya dengan kerajaan pusat untuk kemajuan Kedah.

Malam tadi, Mahdzir, 45, diumumkan sebagai menteri besar yang baru menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang meletakkan jawatan atas sebab-sebab kesihatan.

Selain memegang pelbagai jawatan penting di peringkat negeri dan pusat, Mahdzir juga pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff.

Pada masa ini, beliau merupakan Ahli Exco Kerajaan Negeri, Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan Darul Aman dan Persatuan Bolasepak Daedah Pokok Sena.

Tetapi aset lebih penting yang ada pada bekas guru besar dari Pokok Sena ini ialah hubungan rapatnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ini kerana beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada perdana menteri dari tahun 1999 hingga beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Pedu dalam pilihanraya umum 2004.

Menurut para pemerhati, ini menjadi faktor utama pemilihannya sebagai pemangku menteri besar Julai lalu selepas Syed Razak bercuti untuk mendapat rawatan akibat serangan angin ahmar.

Cabaran yang menunggu

Ketika mengulas mengenainya, Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Ghazali Ibrahim percaya hubungan rapat menteri besar yang baru itu dengan pemimpin peringkat pusat dan akar umbi, akan menyegarkan semula pembangunan di negeri Kedah.

"Kita berharap hubungan rapatnya dengan perdana menteri akan memudahkan lagi usaha membawa pembangunan ke Kedah. Beliau adalah anak kampung sebenar, yang disenangi semua pihak di bandar mahupun di kampung.

"Ini merupakan pertama kalinya seorang pemimpin kampung dilantik sebagai menteri besar," tambahnya ketika dihubungi semalam.

Pemimpin Umno yang lain pula berpendapat 'tenaga muda' dan corak 'kepimpinan terbuka' yang diamalkannya, akan memanfaatkan negeri ini.

Menurut Timbalan Ketua Umno Bahagian Baling, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir, ketika memangku jawatan menteri besar, Mahdzir tidak jemu-jemu bertemu rakyat dan turut berkempen bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir.

Pandanganya itu turut dikongsi oleh Ketua Wanita Umno Langkawi, Ku Puteh Ku Othman. Menurutnya, Mahdzir telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan bekerja sepanjang menjadi pemangku menteri besar.

"Beliau memanfaatkan kelayakan, pendidikan dan pengalamannya. Setahu saya, beliau merupakan seorang yang amat sensitif terhadap hasrat akar umbi," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa menteri besar yang baru itu perlu bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang bersifat semulajadi dan buatan manusia.

"Beliau terpaksa berdepan dengan masalah semulajadi seperti banjir. Dan pada masa yang sama, beliau juga perlu bijak menangani politiking dalam Umno negeri," katanya.

Menurutnya, adalah mudah untuk berdepan dengan mereka yang mengutamakan kepentingan bangsa, agama dan negara tetapi keadaannya menjadi sukar bila ia membabit golongan yang mengutamakan kepentingan diri sendiri. Berita asal