Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu Datuk Mahdzir Khalid akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah yang baru di Istana Anak Bukit Alor Setar, Rabu depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata turut mengangkat sumpah pada hari itu ialah barisan baru anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco).

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mempersembahkan hasrat untuk melantik Mahdzir sebagai Menteri Besar Kedah yang baru kepada Sultan Kedah dan diperkenankan oleh baginda, katanya pada sidang akhbar di Istana Anak Bukit..

Terdahulu, Syed Unan mengiringi Mahdzir menghadap Sultan Kedah bagi menyerahkan surat pelantikan sebagai Menteri Besar Kedah yang baru daripada Abdullah menggantikan Datuk Seri Syed Razak Syed Zain yang melepaskan jawatan itu semalam.

Menurut laporan Bernama, Syed Unan berkata Mahdzir akan terus memangku jawatan Menteri Besar Kedah sehingga hari mengangkat sumpah berkenaan.

Pada sidang akhbar yang sama, Mahdzir berkata beliau menjunjung kasih di atas perkenan Sultan Kedah dan berterima kasih kepada Abdullah yang memberi kepercayaan kepadanya untuk menerajui negeri Kedah.

"Saya telah berjumpa dengan Perdana Menteri pagi tadi dan diberikan surat pelantikan untuk diserahkan kepada Tuanku Sultan Kedah," kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi itu yang bakal menjadi Menteri Besar Kedah kelapan.

Mahdzir yang memangku jawatan Menteri Besar sejak 17 Julai lepas berikutan Syed Razak bercuti panjang setelah diserang penyakit paresis berkata Sultan Kedah berharap beliau akan meneruskan semua program yang sedang dan akan dilaksanakan demi manfaat rakyat Kedah.

Mengenai barisan Exco baru, beliau berkata ia hanya akan diumumkan selepas senarai nama itu dipersembahkan kepada Sultan Kedah di Istana Anak Bukit untuk perkenan baginda pada Rabu depan.