Kementerian Pelajaran hari ini mengumumkan formula baru pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) bagi tahap kedua mulai sesi persekolahan tahun depan.

Tahap kedua ini akan menggunakan formula 6-2-3-2 bagi pengajaran matapelajaran-matapelajaran tersebut bagi murid darjah empat hingga enam di SJKC.

Menurut formula baru itu, dalam seminggu terdapat enam waktu belajar Matematik dalam bahasa Mandarin dan dua waktu belajar Matemaik dalam bahasa Inggeris, tiga waktu belajar Sains dalam bahasa Mandarin, dan dua waktu belajar Sains dalam bahasa Inggeris.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam satu sidang akhbar di kementeriannya hari ini.

Pada asalnya ini, darjah empat mempunyai tujuh waktu belajar Matematik dalam bahasa Mandarin dan lima waktu belajar Sains dalam bahasa Mandarin.

Kini SJKC perlu mengurangkan satu waktu belajar bagi matapelajaran Moral untuk digunakan bagi waktu belajar Matemaik dalam bahasa Mandarin.

Ini bermakna, dalam masa seminggu, akan terdapat enam waktu pengajaran Matematik dalam bahasa Mandarin. Manakala jumlah waktu belajar bagi Sains tidak berubah.

DJZ bantah

Sementara itu, Presiden Dong Jiao Zong, Dr Yap Sin Tian menolak formula tersebut kerana ia bukan menggunakan bahasa ibunda untuk mengajar Sains dan Matematik.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan merupakan kesinambungan formula 2-4-3 yang digunakan dalam tahap pertama dibantah oleh pihaknya sebelum ini.

Ketika dihubungi malaysiakini petang ini, beliau tetap menekan pentingnya penggunaan bahasa ibunda dalam kedua-dua matapelajaran tesebut dan menolak sebarang formula yang membabitkan penggunaan dwi-bahasa dalam pengajarannya.

Manakala Timbalan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon melalui pembantu khasnya Tan Hock Sim berkata walaupun pihak kementerian tidak mengubah dasar penggunaan bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik, tetapi parti itu akan mengemukakan maklumbalas rakyat mengenainya kepada Kementerian Pelajaran dan Perdana Menteri. Dr Koh kini berada di luar negara.

Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting pula memberitahu satu sidang akhbar bahawa formula baru itu merupakan satu formula yang realistik dan memenuhi kehendak masyarakat Cina dan para ibubapa.

Di samping itu, katanya, ia juga dapat meningkatkan tahap bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan dapat membantu mereka menguasai istilah Inggeris bagi Sains dan Matematik.

Formula ini, katanya, menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa utama dalam pengajaran Sains dan Matematik serta dapat memastikan identiti SJKC tidak berubah.