Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAC sahkan penangguhan prosiding 1MDB atas nasihat AG
Diterbitkan:  Oct 30, 2018 4:50 PM
Dikemaskini: 8:50 AM

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesahkan prosiding 1MDB semalam ditangguhkan selepas mendengar pandangan Peguam Negara Tommy Thomas.

"Saya menerima surat daripada peguam negara pada 25 Oktober 2018, Khamis, yang memberi pandangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen untuk menangguhkan sine die prosiding berkaitan dengan syarikat 1MDB.

"Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli PAC Parlimen, saya serta beberapa ahli PAC mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof untuk memaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"Lanjutan daripada perbincangan berkenaan, PAC Parlimen akan mengadakan pertemuan dengan peguam negara secepat mungkin bagi membincangkan perkara mengenai penangguhan berkenaan dengan lebih lanjut," kata Pengerusi PAC Parlimen Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dalam kenyataan media hari ini.

Anggota parlimen Beluran itu bagaimanapun tidak mendedahkan alasan yang diberikan peguam negara di sebalik penangguhan prosiding itu.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan Pejabat Peguam Negara menasihatkan PAC menangguhkan prosiding itu dan menyatakan kebimbangan prosiding itu boleh menjejaskan perbicaraan jenayah yang sedang berlangsung yang turut melibatkan 1MDB.

Ogos lalu, Dewan Rakyat membenarkan siasatan ke atas skandal 1MDB dibuka semula oleh PAC dan Jabatan Audit Negara.

Siasatan PAC ke atas 1MDB sepatutnya dimulakan semalam, dengan memanggil bekas ketua audit Tan Sri Ambrin Buang memberi keterangan.

Skandal 1MDB disiasat ketika Ambrin menerajui Jabatan Audit Negara dari Feb 2006 hingga Feb 2017.

Di bawah kerajaan lama sebelum ini, Dewan Rakyat melarang isu 1MDB terutamanya berkaitan saman sivil Jabatan Kehakiman AS (DOJ), dibangikitkan di dalam dewan.

Keputusan itu mendapat kritikan dan kecaman pembangkang dan pertubuhan awam ketika itu. 

Lihat Komen
ADS