Dakwaan laporan audit 1MDB dipinda: Peguam gesa lapor polis
Beberapa peguam menggesa Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Wong Kah Woh membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan bahawa laporan Jabatan Ketua Audit ke atas 1MDB dipinda.
Peguam jenayah Baljit Singh Sidhu berkata, sekiranya dakwaan Wong itu betul, bererti terdapat kemungkinan berlaku pemalsuan dokumen, penipuan atau pelanggaran Akta Rahsia Rasmi 1972.
"Ia merupakan dakwaan yang serius. Langkah pertama adalah melaporkan kepada polis agar siasatan jenayah dapat dimulakan.
"Sekiranya Wong tidak membuat laporan polis, ia memperlekehkan semua dakwaan yang dibuat," kata Baljit yang juga merupakan anggota jawatankuasa Majlis Peguam Jenayah.
Peguam N Surendran pula berkata sekiranya dakwaan Wong itu benar, pihak berkuasa boleh memulakan siasatan di bawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan kerana mereka bukti palsu dan/atau Seksyen 201 akta sama kerana menyebabkan kehilangan bukti untuk menyiasat pesalah.
Kesalahan di bawah Seksyen 192 boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda. Sementara hukuman penjara di bawah Seksyen 201 pula menetapkan tempoh tiga hingga enam tahun, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
Berita berkaitan: Timb Pengerusi PAC: Laporan audit 1MDB telah dipinda
Surendran berkata Seksyen 218 Kanun Keseksaan juga boleh digunakan dalam kes itu. Seksyen berkenaan berkaitan penjawat awam yang ingkar arahan undang-undang dengan niat menyelamatkan seseorang daripada hukuman atau pelucutan harta.
Individu yang didapati bersalah di bawah Seksyen 218 boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Semalam, Wong yang juga anggota parlimen Ipoh Timur memberitahu Dewan Rakyat bahawa laporan Jabatan Audit Negara berkenaan 1MDB telah dipinda.
Ketika dihampiri Malaysiakini selepas itu, Wong berkata dia tidak boleh memberikan butiran lanjut kerana terikat dengan Peraturan Mesyuarat dewan.
Bagaimanapun, sumber yang tahu tentang perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa kandungan yang "hilang" itu akan menjejaskan imej pentadbiran lalu.
"Pindaan dibuat sekurang-kurangnya pada dua tahun lalu," kata sumber itu yang enggan dinamakan.

