Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis ambil tindakan jika Najib, Rosmah terbabit kes Altantuya

PARLIMEN | Polis akan mengambil tindakan sewajarnya jika ada bukti menunjukkan Datuk Seri Najib Razak dan isterinya terbabit dalam pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau sudah melihat rakaman video kenyataan dibuat ahli perniagaan Deepak Jaikishan baru-baru ini.

Dalam rakaman video itu - yang kini sudah dipadamkan dari dalam talian - Deepak mendakwa dia boleh membantu pihak berkuasa menentukan motif di sebalik pembunuhan Altantuya.

Kata Muhyiddin di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) jika ada sebarang bukti atau maklumat baru mengenai kes yang menggemparkan itu, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.

"Mungkin KDN boleh panggil Deepak terlebih dulu untuk mendapatkan kenyataan sebenar.

"Kalau disabitkan dalam kenyataan itu nama-nama yang disebutkan tadi dan ia perlu disiasat, maka polis akan ambil tindakan sewajarnya," kata Muhyiddin semasa menggulung perbahasan usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) di Dewan Rakyat hari ini.

Semalam Ramkarpal Singh (HARAPAN-Bukit Gelugor) menggesa polis menyoal siasat Najib dan Rosmah selepas Deepak membuat kenyataan baru mengenai kes pembunuhan Altantuya.

Ramkarpal yang juga seorang peguam membuat kenyataan itu semasa membahaskan usul sama.

Menjelaskan lebih lanjut Muhyiddin berkata polis sudah menyerahkan kertas siasatan mengenai pembunuhan Altantuya kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Jun lalu.

"Pada 10 Oktober 2018, PDRM menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menemu duga semula beberapa orang saksi.

"Sekiranya terdapat bukti baharu, mana-mana pihak boleh mengemukakannya kepada PDRM untuk siasatan lanjut," katanya.

[Baca berita lanjut]

Lihat Komen
ADS