Cadangan membina jambatan ketiga bagi menghubungkan Johor ke Singapura, antara agenda yang akan dibincangkan kerajaan Johor dalam Malaysia-Singapore Joint Ministerial Committee (JMC) Meeting di Singapura bulan hadapan.

Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian yang mengesahkan demikian berkata bagaimanapun perbincangan mengenainya juga akan dilakukan bersama Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mesyuarat pembangunan Koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kuala Lumpur, esok.

“Ini penting bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang dialami Johor ketika ini.

“Jika tidak dilakukan sesuatu, saya rasa sampai bila-bila ia tidak akan selesai. Kalau orang kata dalam keadaan ekonomi tidak menentu, kerajaan membazir …saya rasa itu bukan pembaziran tetapi saya tidak hendak ulas lanjut sebab dah ulas awal dulu,” katanya ketika ditanya isu terbabit.

Beliau ditemui media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Anggota Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Johor di Dewan Raya Taman Bukit Indah di Johor Bahru, lewat petang tadi.

Justeru, beliau berharap rakyat akan mempunyai tanggapan yang wajar mengenai pembinaan jambatan kerana ia merupakan keperluan tinggi.

“Kalau kita buat pun, kita akan meneliti dengan sebaik mungkin, misalnya kosnya itu janganlah tinggi sangat,” katanya.

Cadangan membina jambatan dari kawasan Sungai Rengit, Pengerang dalam daerah Kota Tinggi hingga ke Pulau Ubin, Singapura itu dikemukakan sendiri oleh Osman pada penghujung Ogos lepas.

Ia sebagai mengurangkan kesesakan lalu lintas di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di samping selaras dengan pembangunan pesat Pengerang ketika ini.

Mengulas isu lain, Osman berkata pihaknya menyokong saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa untuk menyeragam dan menyelaraskan undang-undang Syariah di seluruh negara.

Ini kerana langkah pelaksanaan tentang undang-undang syariah sebelum ini mengalami sedikit kekangan kerana setiap negeri mempunyai undang-undang syariah yang berbeza.

“Pada saya boleh dilakukan agar menjadi sekata (selari) dengan negeri-negeri lain yang sekarang ini undang-undang syariahnya berlainan. Ini akan lebih banyak memudahkan dan ia cadangan yang perlu kita sokong,” katanya.

- Bernama