Malaysiakini BERITA

Tok Pa muncul jua di DUN Kelantan

N Faizal Ghazali

Diterbitkan  |  Dikemaskini

DUN KELANTAN | Selepas dua hari gagal menghadirkan diri, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed muncul pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Beliau tiba kira-kira jam 8.55 pagi selepas gagal hadir pada persidangan DUN yang bermula Isnin lalu.

Ketika berjalan masuk ke dewan persidangan, wakil tunggal Pakatan Harapan (HARAPAN) di DUN Kelantan itu sempat melambaikan tangan kepada petugas media.

Bekas anggota majlis tertinggi Umno itu kini mewakili HARAPAN selepas menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada Jumaat lalu.

Pada hari pertama persidangan DUN, Mustapa yang lebih dikenali sebagai Tok Pa tidak hadir kerana dilaporkan ada perkara mustahak perlu diuruskan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, anggota parlimen Jeli itu turut tidak dapat berbuat demikian semalam susulan mempunyai temujanji untuk pemeriksaan kesihatan.

DUN Kelantan kini menyaksikan 37 kerusi milik PAS, tujuh kerusi milik Barisan Nasional (BN) dan satu daripada BERSATU.