Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
MB Negeri Sembilan selamat bedah jantung - Anwar
Diterbitkan:  Oct 31, 2018 6:45 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun selamat menjalani pembedahan jantung dan kini beransur pulih.

Anggota Parlimen Port Dickson itu berkata Aminuddin kini berada dalam proses pemulihan dan sedang berehat di sebuah hospital.

"Saya dan (Presiden PKR dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr) Wan Azizah (Wan Ismail) sempat menziarah beliau (baru-baru ini).

"Dia sebenarnya pergi untuk pemeriksaan buah pinggang tetapi ditangguhkan tetapi doktor mendapati jantung dah banyak block jadi dia perlu melakukan pembedahan, itu yang tak boleh ditangguh," katanya pada majlis minum petang bersama veteran tentera di Dewan Bagan Pinang di Port Dickson, hari ini.

Turut hadir, bekas anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah, Ketua Cabang PKR Port Dickson yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sri Tanjung, M Ravi dan Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan, Mokhtar Ahmad.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Dr Razali Ab Malik dipetik sebagai berkata Aminuddin yang juga Pengerusi PKR dan Pengerusi Pakatan Harapan negeri selamat menjalani pembedahan pada Jumaat lalu dan sedang berehat di Hospital Serdang, Selangor.

Aminuddin kata Razali dijangka kembali bertugas dalam tempoh dua minggu.

Dalam perkembangan lain, Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR berkata majlis bersama veteran itu, yang dihadiri kira-kira 200 veteran tentera, adalah majlis pertama bersama rakyat yang dihadirinya selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt lepas.

"Ini sebagai tanda terima kasih saya kepada veteran tentera," katanya.

Katanya soal kebajikan veteran tentera tetap menjadi keutamaan kerajaan PH dan tidak akan sekali-kali meminggirkannya.

"Syukur Menteri Pertahanan (Mohamad Sabu) telah menekankan untuk menghidupkan semula Majlis Veteran Malaysia yang sebelum malap. Majlis ini akan menjadi saluran utama para veteran," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS