Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pegawai khas saran ADUN Pilah letak jawatan

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pilah Mohamad Nazaruddin Sabtu digesa meletakkan jawatan berikutan tidak mampu memberikan khidmat kesan tahap kesihatannya yang semakin teruk.

Gesaan itu dibuat oleh bekas pegawai khasnya sendiri yang dipecat pada 31 Ogos lalu.

Hazman Hashim mendakwa Mohamad Nazaruddin kini tidak lagi mampu menggalas tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat.

“Dia tak dapat nak bagi perkhidmatan kepada masyarakat.

"Contohnya ada laporan bahawa untuk menandatangani borang permohonan sumbangan pun dia ambil masa, dia belek-belek borang itu.

“Kesudahannya, orang yang memohon sumbangan pun fed up (bosan).

“Kalau kita tengok daripada zahir gambar yang diambil, memang nampak dia macam orang sihat, tetapi cuba kita berbual atau berbincang dengannya.

"Bagi saya, dia masih belum boleh berfikir secara waras lagi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Beliau sebelum itu mengeluarkan kenyataan sama kepada portal berita ini.

Minta putus hubungan

Memburukkan keadaan, Hazman turut mendakwa urusan pentadbiran DUN Pilah mendapat campur tangan oleh ahli keluarga Mohamad Nazaruddin.


Baca Tak pasti ilmu hitam, tapi lebih kepada tekanan, kata pembantu


Mohamad Nazaruddin yang juga merupakan exco kesenian, kebudayaan dan adat istiadat Melayu Negeri Sembilan dikatakan sakit apabila lama tidak kelihatan di khalayak ramai sehingga timbul desas-desus dia bersara daripada politik. 

Keadaan kesihatannya dikatakan menunjukkan kemajuan, biarpun dijangkakan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya. 

Selain itu, Hazman mendakwa bahawa kebimbangannya turut dikongsi oleh MPKK Pilah, Ahli Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK), AJK Wanita Cabang dan Cabang Kuala Pilah sendiri serta satu kenyataan mengenai kewibawaan Mohamad Nazaruddin dalam pentadbiran akan dikeluarkan oleh mereka dalam sedikit masa lagi.

“Sekarang pun kita sedang kumpulkan semua pengerusi ketua kampung, dan majoritinya setuju supaya YB meletakkan jawatan.

“Cabang (Pilah), AMK dan (AJK) Wanita pun dah bagi pengakuan bersama-sama dengan kita,” katanya lagi.

Beri ruang, kata cabang

Bagaimanapun ketika dihubungi, Ketua Cabang PKR Kuala Pilah, Rosli Omar tidak mahu memberikan sebarang komen berkenaan dakwaan campur tangan keluarga tersebut.

Pun begitu, berkenaan status kesihatan Mohamad Nazaruddin, beliau berkata cabang Kuala Pilah bersependapat dengan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun untuk memberikan ruang kepada Mohamad Nazaruddin melalui proses pemulihan.

“Kita beri ruang kepada YB untuk pulih. Dan kalau (beliau) boleh meneruskan tugas, insya-Allah (akan) teruskan tugas.

Sementara itu, salah seorang exco Negeri Sembilan Dr Mohamad Rafie Ab Malek ketika dihubungi turut memilih untuk tidak memberikan komen, tetapi berkata akan memberikan maklum balas selepas meneliti dakwaan tersebut.

Usaha untuk menghubungi Mohamad Nazaruddin pula telah dilakukan beberapa kali namun tidak berhasil.  

Lihat Komen
ADS