Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi: Faktor bangsa penting dalam perjuangan Islam
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 10:59 AM
Dikemaskini: 3:01 AM

PAS menganggap perjuangan berasaskan semangat bangsa adalah selaras dengan kehendak agama kerana ia mendapat pengiktirafan Islam.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ada banyak ayat al-Quran dan hadis yang memaparkan pentingnya faktor bangsa diberi perhatian oleh umat Islam.

Malah kata anggota parlimen Marang itu, semua rasul selepas Nabi Lut AS menjadikan bangsa masing-masing sebagai satu daripada tunggak yang mendukung perjuangan mereka.

"Islam yang membawa risalah sejagat, menjadi rahmat kepada seluruh alam.

"Dasar, konsep dan tujuannya tidak terikat dengan semangat kebangsaan dan dijadikan aqidah perjuangan. Namun (Islam) tetap mengiktiraf peranan bangsa dalam perjuangannya," kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh, Abdul Hadi memetik ayat 213 dan 214 surah as-Syuara untuk menegaskan bahawa pada awalnya baginda diperintahkan untuk berdakwah bagi membentuk jemaah yang terdiri daripada kaumnya sendiri.

Justeru kata tokoh yang digelar "tuan guru" oleh penyokong PAS itu, Rasulullah memulakan dakwahnya kepada kaum keluarga dan bangsanya terlebih dulu walaupun kerasulan baginda ditetapkan untuk seluruh manusia dan sekalian alam.

Jangan digempur bangsa Melayu

"Allah juga (ada) menyebut amaran-Nya di dalam al-Quran bahawa bangsa Arab yang meninggalkan perjuangan Islam (akan) dipinggirkan dan ditukar dengan bangsa lain yang memimpin umat bersama Islamnya," katanya lagi.

Untuk rekod sejak berberapa dekad PAS giat berjuang melawan fahaman mengutamakan bangsa dan kaum dalam gerakan politiknya.

Justeru PAS melihat Umno - yang menjadikan faktor bangsa Melayu dan bumiputera sebagai dasar perjuangan - sebagai musuh politik utamanya.

Sebaliknya parti itu menegaskan faktor yang paling utama untuk seseorang Muslim membuat pertimbangan mengenai pemimpin ialah berkenaan aspek agama.

Malah ia pernah ditegaskan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semasa hayatnya.


Baca Nik Aziz: Allah maha besar, bukan Melayu, Cina, India


Pada Mei 2012 mursyidul am PAS itu berkata beliau tidak keberatan jika negara ini mendapat seorang perdana menteri bukan Melayu, asalkan individu terbabit beragama Islam.

"Bukan Melayu tidak apa (jadi perdana menteri), asalkan Islam. Islam dipimpin oleh pelbagai bangsa di atas muka bumi ini. Di Turki, Perdana Menterinya bukan orang Arab," katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.

Muktamar PAS ke-62 yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan pada 2016

Bagaimanapun selepas pilihan raya umum ke-13 PAS bersikap lunak kepada Umno malah kini menjalin kerjasama erat dalam politik.

Kata Abdul Hadi atas dasar itulah sesuatu bangsa yang dominan di kalangan penganut Islam adalah pilihan yang sesuai untuk diangkat menjadi pemimpin.

"Senario kepimpinan Islam berlaku sama ada di peringkat pusat atau negeri di sepanjang zaman membuktikan bahawa bangsa yang dominan di kalangan penganut Islam yang layak memimpin," katanya.

Menurut beliau rumpun Melayu Islam daripada pelbagai suku kaum dan bangsanya yang menganut Islam masih tetap menjadi bangsa terbesar menganut Islam di Indonesia dan Malaysia.

Bahkah katanya rumpun itu boleh menjadi bangsa terbesar di kalangan dunia Islam jika semuanya kembali kepada Islam yang sempurna.

"Maka jangan digempurkan bangsa Melayu Islam yang mendominasi penduduk di negara ini hanya kerana adanya pengaruh ekonomi dan media yang disalahgunakan untuk tujuan politik yang salah tanpa mengambil kira peranan dominasi kaum yang masih menganut Islam ini," katanya.

Lihat Komen
ADS