Terjemahan Pemantau Pilihanraya Bebas Malaysia (Mafrel) tidak akan berputus asa dan berikrar untuk meneruskan usahanya bagi mewujudkan pilihanraya yang demokratik di negara ini, walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan.

Baru-baru ini Mafrel gagal memperolehi akreditasi daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk memantau pilihanraya kecil di Pangkalan Pasir Kelantan awal bulan ini.

Malah, kata Pengerusi Mafrel, Abdul Malek Hussin, para pemantau badan itu juga turut berdepan dengan gangguan dan disoalsiasat oleh pihak polis.

Katanya, Mafrel memohon mendapatkan akreditasi itu, sepertimana yang ditetapkan dalam peraturan pilihanraya, bagi memantau fasa-fasa penting dalam proses pilihanraya, termasuk di peringkat pengundian dan pengiraan undi di pusat-pusat penjumlahan rasmi.

Bagaimanapun, pihaknya tidak mendapat sebarang jawapan daripada SPR badan bebas yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pilihanraya di Malaysia.

Sebelum ini, SPR pernah memberi akreditasi yang sama kepada Pemerhati dari Komanwel ketika berlangsungnya pilihanraya umum 1990.

"Mengapa pemerhati asing dibenarkan? Di bawah peruntukan apa mereka dibenarkan masuk? Dan mengapa Mafrel, sebuah badan pemerhati pilihanraya rakyat, tidak diberikan akreditasi?," soal Abdul Malek.

Sebaliknya, kata beliau, Mafrel dibenarkan menjadi pemerhati pilihanraya di negara-negara lain seperti Hong Kong, Sri Lanka dan Afghanistan, manakala badan-badan antarabangsa lain juga dibenarkan memantau pilihanraya di Indonesia, Thailand dan Filipina.

156 pengundi 'tinggal' serumah

Malek menyifatkan keengganan mengiktiraf badan pemantau pilihanrayanya itu sebagai "menjelakkan".

Malah katanya, sewaktu pemerintahan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini pun, Mafrel dibenarkan memasuki pusat pengundian dan pengiraan undi untuk memantau perjalanan pilihanraya umum di negara ini.

"Semuanya telah berubah menjadi semakin terusk di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekarang. Saya sangka keadaan akan bertambah baik...," tegasnya.

Dalam pilihanraya umum 2004, tempoh kempen yang dibenarkan adalah yang paling singkat sejak Merdeka, manakala di Pengkalan Pasir awal bulan, tempohnya adalah yang tersingkat dalam sejarah pilihanraya kecil.

"Pada tahun 2004, berlaku kekecohan dalam proses pengundian di Selangor, wujudnya pengundi hantu di Terengganu, senarai pemilih yang tidak tepat berdasarkan pengesahan terpilih yang dibuat oleh Mafrel di Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur.

"Dapatkan anda bayangkan terdapat 156 pengundi yang tinggal di satu alamat di kawasan pilihanraya Lembah Pantai?" katanya.

Mafrel telah memulakan tugas memantau perlbagai peringkat penting dalam proses pilihanraya peringkat negeri Sarawak yang dijangka diadakan awal tahun depan.

Malek berharap, kali ini, pihak SPR tidak akan menafikan Mafrel mendapatkan akreditasi tersebut sepertimana yang berlaku dalam pilihanraya kecil di Kelantan awal bulan ini. Berita asal