Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Ng Chong Hwa yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dijangka diekstradisi ke AS bagi berdepan dakwaan berhubung skandal itu.

Malay Mail Online memetik Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman sebagai berkata proses ekstradisi itu sedang berjalan ketika ini.

"Waran tangkapan sudah dikeluarkan dan kita sudah tahan dia semalam.

"Proses sedang berjalan ketika ini dan dia akan dihantar pulang setelah proses itu selesai," kata Amar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) berkata pihaknya telah mendakwa Ng dan ahli perniagaan Low Taek Jho (Jho Low), selain seorang lagi bekas pegawai bank Goldman Sachs iaitu Tim Leissner.

Ng sebelum ini bekerja dengan Goldman Sachs di Asia Tenggara.

Menurut kenyataan itu, pendakwaan jenayah di mahkamah persekutuan New York itu mengaitkan Jho Low dan Ng dalam bersubahat menggubah berbilion dolar dari 1MDB serta melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) dengan merasuah pegawai Malaysia dan Abu Dhabi.

"Ng juga didakwa bersubahat melanggar FCPA dengan mengelak pemeriksaan institusi kewangan New York dengan anggaran lebih AS$6 bilion bon yang dikeluarkan 1MDB dalam tiga bon berasingan yang ditawarkan pada 2012 dan 2013 ketika Ng masih bekerja di institusi kewangan itu sebagai pengarah urusan," katanya.

Kenyataan itu turut menambah bahawa berdasarkan pertuduhan dalam dokumen mahkamah, sejak 2019 sehingga 2014, Jho Low, Ng, Leissner dan seorang rakan subahat mereka yang lain menggunakan hubungan Jho Low mendapatkan perjanjian perniagaan untuk institusi kewangan itu dengan berjanji akan membayar rasuah jutaan dolar.

Ia termasukah bagi memastikan 1MDB menganugerahkan institusi kewangan itu peranan dalam tiga transaksi bon yang dikenali sebagai 'Project Mahnolia', 'Project Maximus', dan 'Project Catalyze'.

[Baca berita asal]