Ulama Islam di Melbourne akan didaftarkan dan mereka yang datang dari luar negara, akan ditawarkan pendidikan mengenai masyarakat Australia, dalam satu cadangan untuk menyekat mereka yang menyokong fahaman ekstrem, demikian dilaporkan hari ini.

Cadangan itu dibuat oleh Majlis Penasihat Islam Perdana Menteri Australia, bertujuan untuk menamatkan kegiatan keganasan.

Seorang anggota majlis itu, Yasser Soliman berkata, garispanduan mengenai cadangan itu adalah sebagai jawapan kepada cadangan daripada masyarakat dan ulama Islam yang bimbang terhadap kewujudan sebilangan kecil yang mengaku ulama, namun tiada kelayakan sepatutnya.

"Ada yang datang dari luar negara dan tidak boleh bertutur Bahasa Inggeris dan memegang jawatan sebagai pemimpin, dan kami fikir mereka yang tidak boleh berbahasa Inggeris akan dapat mempimpin secara efektif di Australia kerana mereka tidak dapat menjadi sebahagian daripada penyelesaian apabila masalah timbul," kata Soliman kepada stesen radio ABC.

"Jadi kami cuba untuk menyediakan garispanduan mengenai siapa yang boleh menjadi ulama dan satu sistem berkaitan mendaftarkan para ulama yang berkelayakan."

Menurut Bernama, Soliman bersetuju bahawa mereka yang mendakwa diri mereka syeikh berkemungkinan tidak akan menghormati garispanduan itu, tetapi menegaskan ia hanya membabitkan lima atau enam orang sahaja.

.

"Mereka akan dikenal pasti sebagai tidak mengikut aliran utama. Pada tahap ini mereka akan menghadapi masalah mengenai kedudukan mereka," katanya.

Soliman berkata, ulama yang datang dari luar negara perlu diberi pendidikan supaya mereka mendapat manfaat dengan memahami sistem politik negara ini dan juga mengenai bahasa jika mereka tidak fasih dalam Bahasa Inggeris.

"Ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang menghina seseorang ulama," katanya.