Pendaftaran pengundi melalui SMS tidak lama lagi
Orang ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi boleh berbuat demikian menerusi internet dan SMS tidak lama lagi setelah pindaan undang-undang yang berkaitan dilakukan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Orang ramai yang belum mendaftar sebagai pengundi boleh berbuat demikian menerusi internet dan SMS tidak lama lagi setelah pindaan undang-undang yang berkaitan dilakukan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.
Beliau berkata, pindaan undang-undang itu yang akan dibentangkan dalam sesi parlimen Mac tahun depan itu dijangka membantu meningkatkan bilangan pengundi dalam pilihanraya akan datang.
"Buat masa ini, warganegara Malaysia yang berusia 21 tahun ke atas disyaratkan sebagai layak mengundi dan boleh mendaftar sebagai pemilih di Pejabat Pos atau pejabat Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.
"Bagaimanapun, hanya 10.3 juta pengundi sahaja yang telah mendaftar dan jumlah itu masih tidak meningkat sejak pilihanraya lalu," katanya pemberita.
Sebelum itu, beliau menerima laporan akhir Kajian Sikap Golongan Berpotensi Terhadap Pendaftaran Sebagai Pemilih dan Penyertaaan Dalam Proses Pilihanraya di Malaysia, di Universiti Teknologi Malaysia di Johor Bharu hari ini.
Menurut laporan Bernama , terdapat kira-kira empat juta warganegara ini yang layak mengundi tetapi belum mendaftar dan SPR telah melantik wakil-wakil dari parti yang ada sebagai ejen untuk pendaftaran.
Abdul Rashid berkata, keputusan menjalankan pendaftaran secara online dilaksanakan selepas SPR menerima kajian oleh penyelidik UTM yang menunnjukkan urusan sedemikian ternyata mudah.
Beliau berkata, orang ramai hanya perlu memberikan nombor kad pengenalan, dan pegawai SPR kemudiannya akan mendapatkan kesemua maklumat tentang individu berkenaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara.
Pendaftaran automatik
Mengenai cadangan pelbagai pihak supaya rakyat negara ini yang berusia 21 tahun secara automatik didaftarkan sebagai pengundi, Abdul Rashid berkata itu tidak sesuai dilaksanakan kerana ia mendatangkan kesukaran sekiranya ada pengundi yang bertukar alamat tempat tinggal.
"Isu pengundi hantu juga akan ditimbulkan disebabkan pengundi yang tidak dikenali akan mengundi di kawasan berkenaan," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan boleh menggunakan paksaaan atau peruntukan undang-undang bagi memastikan rakyat mendaftar sebagai pengundi, Abdul Rashid berkata kerajaan berpendapat perkara itu tidak perlu dilaksanakan.
"Ini semua berbalik kepada konsep demokrasi. Memang kita ada membangkitkan cadangan itu tetapi kerajaan berpendapat jika mereka (orang ramai) merasakan tidak perlu untuk mengundi dan itu adalah hak masing-masing, terpulang kepada diri mereka," katanya.
Kajian Sikap Golongan Berpotensi Terhadap Pendaftaran Sebagai Pemilih dan Penyertaaan Dalam Proses Pilihanraya itu dijalankan oleh sekumpulan pegawai penyelidik dari Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia UTM Skudai, diketuai dekannya Prof Madya Dr Durrishah Idrus.
Kajian yang bermula Ogos lalu dan berakhir bulan ini, membabitkan 7,000 responden terdiri daripada dua golongan iaitu mereka yang layak mengundi tetapi belum mendaftar serta golongan pemimpin masyarakat, ahli politik, orang awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik di semua 14 negeri.
Kajian itu mendapati majoriti responden yang tidak mendaftar sebagai pengundi disebabkan oleh faktor kemudahan, kekurangan infrastruktur serta soal peribadi.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.