Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Lokman Adam: KJ meroyan macam orang datang bulan

ULASAN | Nampaknya ada yang sakit hati bila majlis santai bersama Datuk Seri Najib Razak mendapat sambutan luar biasa tadi.

Bekas ketua pemuda Umno, Khairy Jamaludin Abu Bakar menempelak kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa BN kalah akibat janji-janji manis Pakatan Harapan (HARAPAN) dan fitnah mereka.

Sebaliknya, Khairy mengatakan bahawa punca kekalahan BN hanyalah kerana 1MDB, itu sahaja.

Saya tidak pasti apa masalah Khairy yang meroyan seperti orang datang bulan.


BACAKJ ingatkan Najib: BN kalah sebab 1MDB, tamat


Tapi apa yang pasti, jika beliau meneruskan sikap menuding jari secara berterusan, saya rasa beliau boleh berhenti bermimpi untuk menjadi presiden Umno.

Sepatutnya, selaku bekas ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy kena menilai sama ada aktiviti menjadi model sambilan di Majalah Maskulin, hobi berselfie dan kepakaran memilih warna stokin yang betul, telah berjaya menarik minat orang muda untuk menyokong BN.

Khairy terpalit fitnah 

Kita masuk bertanding sebagai satu pasukan, adalah sangat tidak bertanggungjawab sebagai seorang (bekas) ketua pemuda, kita menuding jari kepada (bekas) presiden parti seorang setelah kalah.

Harus diingatkan bahawa (sebelum PRU14) bukan sahaja presiden Umno dan isterinya difitnah HARAPAN, boleh dikata hampir semua menteri kabinet juga telah difitnah kecuali Datuk Seri Shabery Cheek yang terselamat daripada fitnah Pakatan Harapan.

Malah, Khairy sendiri terpalit dengan fitnah penyelewengan RM100 juta ringgit KBS, fitnah kononnya beliau mempunyai hubungan dengan Maya Karin, fitnah beliau ambil ice, fitnah pengagihan projek membina gelanggang futsal kepada kroninya, fitnah berhubung “1 Stop Visa Center” yang melibatkan seseorang yang dikatakan merupakan proksinya dan pelbagai fitnah lain yang melibatkan hubungan beliau dengan pihak Singapura.

Adakah semua fitnah-fitnah yang melibatkan dirinya ini langsung tidak mengakibatkan BN hilang walaupun 1 undi?

Sepatutnya, sebagai seorang (bekas) ketua pemuda yang mempunyai ijazah dalam bidang ekonomi dan dikatakan bijak kerana merupakan graduan Oxford, Khairy sepatutnya mengambil pendekatan cuba memahami isu 1MDB dan GST.

Dua isu ekonomi yang sangat kompleks ini memang menyumbang kepada kecelaruan rakyat dan mengakibatkan kita kehilangan undi dalam pilihanraya lalu.

Namun, apa yang mengecewakan saya, Khairy langsung tidak melihatkan sumbangannya dalam usaha memperjelaskan dua isu ini.

Hanya beberapa individu seperti Tun Faisal Ismail Aziz dan Datuk Seri Arul Kanda Kandasamy yang membantu kami pihak Kementerian Kewangan (MOF) pada era Najib untuk menjelaskan isu ini kepada rakyat.

Menuding jari memang mudah, tetapi jika Datuk Seri Najib mempunyai ketua pemuda yang proaktif dan bersungguh-sungguh memainkan peranan dalam menangkis fitnah pembangkang dan mempertahankan dasar dan polisi kerajaannya, sudah pasti kita akan dapat meraih lagi 33 kerusi untuk memerintah semula.

Saya masih ingat, sebaik sahaja Datuk Seri Najib mengisytihar BN telah kalah, saya telah pergi ke rumah beliau untuk memohon maaf atas kegagalan saya mempertahankan presiden saya daripada fitnah pihak musuh.

Tapi saya tidak boleh fikir, bagaimana seorang menteri kabinet dan ketua pemuda parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara ini (sebelum PRU14) boleh pergi ke rumah presiden pada malam kita kalah, menuntut supaya presiden meletakkan jawatan.

Adakah Khairy sudah lupa bahawa Tun Mahathir Mohamad mula marah kepada Datuk Seri Najib Razak kerana kedegilan beliau melantik Khairy, orang yang dibenci Mahathir dan pesaing Mukhriz, sebagai menteri belia dan sukan?

Pertama elok, kedua pandai

Kalau Datuk Seri Najib tidak ada ketua pemuda yang bebal dan gopoh seperti ini, tidak mustahil Datuk Seri Najib yang merupakan pengerusi Barisan Nasional dan merupakan parti yang memenangi kerusi paling banyak, dapat mentadbir negara ini sebagai “Care Taker Government” selama 3 bulan lagi selepas 9 Mei, 2018.

Dalam tempoh 3 bulan itu, mungkin Datuk Seri Najib sudah berjaya memujuk parti-parti lain untuk membentuk kerajaan campuran dan Khairy mungkin masih kekal sebagai menteri belia dan sukan, bukan anak kecil yang gemar berselfie di dalam tab mandi.

Jika Umno gagal menghentikan sikap menuding jari dan menanam sikap susah dan senang bersama serta kesetiaan kepada pemimpin, sampai bilapun Umno tidak akan berjaya menjadi parti yang kuat.

Itu sebabnya, bila nak pilih pemimpin, pertama kena pilih yang elok, kedua barulah pilih yang pandai.

Kalau pandai belajar sampai Universiti Oxford pun tidak ada gunanya, kalau perangai tidak elok. Jangan marah ya, kalau suka mengkritik, sekali sekala terimalah kritikan.


DATUK LOKMAN NOOR ADAM ialah Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bekas pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini. 

Lihat Komen
ADS