Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Minta maaf pada Najib atau ahli Umno boikot Utusan'
Diterbitkan:  Nov 5, 2018 2:31 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Ketua Bahagian Umno Batu Pahat Datuk Dr Puad Zarkashi memberi kata dua kepada Utusan Malaysia supaya memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung dakwaan bahawa bekas perdana menteri itu berbohong kerana tidak tahu sumber wang yang didepositkan ke akaun banknya.

Puad berkata, jika Utusan enggan berbuat demikian maka ahli Umno wajar memboikot akhbar yang selama ini menjadi lidah rasmi parti Melayu itu kerana membuat kesimpulan awal berhubung perkara tersebut.

Puad juga secara khusus menamakan pengerusi eksekutif Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Sheik Fadzir sebagai individu di belakang ruangan pojok "Awang Selamat" dalam Mingguan Malaysia, semalam.

“Apa agenda Aziz? Kenapa memperalatkan Utusan untuk mendesak Najib memohon maaf kepada seluruh ahli Umno kerana isu 1MDB?.

“Apakah Aziz adalah sebahagian daripada games plan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad)- (Tun) Daim (Zainuddin) untuk terus memecah belahkan perpaduan Umno selepas PRU ke 14?"

“Aziz perlu meminta maaf kepada Najib kerana terlalu gopoh membuat kesimpulan. Kalau dia enggan maka eloklah ahli Umno “Memboikot” Utusan,” katanya.

Menurut Puad lagi, Aziz telah mendahului mahkamah kerana tiada satu pun daripada 38 pertuduhan yang sedang dihadapi Najib ada kaitan dengan tuduhan mencuri wang 1MDB.

“Aziz amat melampau kerana SPRM belum pun membuat sebarang pendakwaan atas fitnah “utama” kononnya Najib mencuri RM2.6 Bilion duit 1MDB. Maka apa asas Aziz untuk menuduh Najib telah bersalah dan mesti meminta maaf,” soalnya melalui ruangan ulasan di akhbar berkenaan, hari ini.

“Ini amat teruk kerana beliau menuduh Najib seorang penipu. Kecuali dia menafikan dia bukan Awang Selamat,” katanya.

Bekas Anggota Parlimen Batu Pahat itu juga turut mendakwa kemungkinan Aziz menulis isu berkenaan kerana sedang berhadapan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Aziz sudah sama dengan HARAPAN yang bimbang populariti Najib akan melenyapkan fitnah bahawa kekalahan BN di PRU ke 14 kerana faktor 1MDB," jelasnya.

Katanya tindakan Aziz menggunakan ruangan pojok  berkenaan untuk menyelar Najib sebagai penipu kebetulan berlaku sehari selepas bekas presiden Umno itu mengadakan sembang santai Facebook di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Berdasarkan program tersebut, ternyata Najib tetap popular dan disenangi oleh golongan muda yang dahagakan jawapan kepada berbagai isu yang melanda pentadbiran Kerajaan HARAPAN hari ini. Terkini viewers video program tersebut ialah 602,656 penonton," kata Puad.

Semalam, Utusan melancarkan serangan terhadap Najib dengan mendakwa beliau berbohong kerana tidak tahu sumber wang yang didepositkan ke dalam akaun banknya.

Sebelumnya, Najib mendakwa wang itu merupakan "derma" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Awang Selawat dalam ruangan pojoknya berkata pembohongan Najib itu terbongkar ketika wawancara terbaru Al Jazeera dan beliau perlu memohon maaf kepada semua ahli Umno.

Awang Selamat juga menggunakan pembayang pantun dua kerat, "siakap senohong, gelama ikan duri..." sebagai judul pojoknya.

Sementara pada penghujung ruangan itu, Awang Selamat menyimpulkan maksud pembayang pantun yang malar segar itu.

"Bukan semua pencuri itu pembohong tetapi mereka yang berbohong itu selalunya mencuri," katanya.

Lihat Komen
ADS