Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful letak jawatan sebagai pegawai khas Maszlee
Diterbitkan:  Nov 5, 2018 6:54 PM
Dikemaskini: 10:54 AM

Wan Saiful Wan Jan hari ini dilaporkan meletakkan jawatannya sebagai penasihat khas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Menurut laporan The Star, Wan Saiful berkata keputusan itu dibuat kerana beliau mahu memberi tumpuan kepada tugasnya selaku pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

"Saya perlu bersikap adil kepada PTPTN. Beliau (Maszlee) meminta saya terus kekal tetapi dengan pengumuman Belanjawan 2019 dan reformasi PTPTN yang sedang berjalan, saya melepaskan jawatan dengan persetujuannya," katanya.

Katanya, tujuan asalnya sebagai penasihat khas Maszlee agar dapat memberi tumpuan kepada perkara lain selain PTPTN, tetapi beban kerja yang meningkat membuatkan ia sesuatu yang mustahil dilakukan.

"saya masuk kerja di kementerian pendidikan pada pukul 8.30 pagi dan selesai pada sembilan malam. Jadi saya rasa mustahil untuk terus berkhidmat dan pada masa sama di PTPTN," katanya.

Di PTPTN, Wan Saiful berdepan cabaran besar apatah lagi selepas kerajaan gagal menunaikan janji manifesto PRU ke-14 iaitu menangguhkan pembayaran sehingga peminjam berpendapatan bulanan RM4,000.

Pada pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan juga memperkenalkan beberapa langkah seperti potongan berjadual buat peminjam yang berpendapatan bulanan RM1,000, potongan pinjaman kepada peminjam dari isi rumah B40 yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama, serta penghapusan baki hutang kepada peminjam berusia 60 ke atas yang berpendapatan kurang RM4,000 sebulan.

Wan Saiful berkata telah menyerahkan surat peletakan jawatan minggu lalu dan tugasnya di kementerian itu tamat secara rasmi pada 30 November ini.

Beliau yang juga bekas ketua pegawai eksekutif badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menafikan keputusan itu berpunca daripada perbezaan pendapat dengan Maszlee.

"Saya tidak akan kata sukar untuk kerja dengan Maszlee. Mudah berurusan dengannya dan dia tiada protokol, tetapi dia mahukan hasil dan kerja dilakukan dengan cepat dan efektif," katanya lagi.

Wan Saiful dan Maszlee adalah dua ahli akademik yang terjun ke dunia politik dengna menyertai BERSATU dan seterusnya bertanding dalam PRU ke-14.

Lihat Komen
ADS