Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Pakatan Harapan (HARAPAN) yang tidak lekang daripada menyebut reformasi sepatutnya melanjutkan apa yang diucap itu kepada penterjemahan melalui amalan, termasuk hingga ke peringkat bawah.

Kalau pun tidak di peringkat kerajaan tempatan, biarlah reformasi itu dilaksanakan dahulu di peringkat mukim dan kampung.

Inilah masanya untuk mereformasikan pentadbiran bottom-up (dari bawah ke atas) yang bukan sahaja untuk membuktikan kepada rakyat bahawa perancangan serta pelaksanaan bukan hanya dibuat di peringkat Putrajaya, malah turut melibatkan peringkat bawahan, khususnya di kampung-kampung.

Perintah dan arahan Putrajaya rasanya perlu direformasikan dalam konteks pentadbiran luar bandar yang memerlukan perhatian mendalam.

Ini kerana di situlah wujudnya isu kemiskinan tegar, kepayahan petani, nelayan, peladang, penganggur, anak muda yang terbiar, masalah moral, dadah dan banyak lagi.

Di sesetengah tempat kemiskinan membelenggu segala-galanya dan ia menjadi punca kemunduran yang berterusan.

Manifesto HARAPAN Terengganu ada menggariskan pembangunan luar bandar yang sewajarnya secara bottom-up melalui tajuk Cakna Rakyat dan Cakna Kampung.

MPKK ganti JKKK

Malangnya rakyat Terengganu memilih PAS untuk menggantikan kerajaan BN.

HARAPAN ditolak secara total melalui pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Namun, kekalahan itu bukanlah segala-galanya. Dengan kerajaan pusat kini dikuasai HARAPAN, ruang dan peluang masih ada. Apa yang penting, pemimpin di Putrajaya mendengar dan mengambil perhatian terhadap saranan pemimpin HARAPAN di negeri dan bahagian.

Beberapa hari ini banyak perbincangan dibuat - khususnya di Kelantan dan Terengganu - mengenai isu Majlis Pembangunan Komuniti Kampung (MPKK) serta pelantikan anggotanya yang menjadi agensi penting peringkat mukim dan kampung.

Semua - termasuk orang Umno - tahu bahawa MPKK yang menggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) tetap berfungsi sebagai suara dan keputusan perancangan dan pembangunan peringkat bawah.

Malah ia adalah alat politik dan kuasa peringkat bawahan yang begitu penting untuk mengolah sokongan sama ada diterjemahkan secara moral, penegasan atau undian.

Berikutan itu, peruntukan yang disalurkan daripada wang rakyat perlulah digunakan sebaik-baiknya untuk rakyat, bukan untuk kepentingan pihak tertentu, apalagi jika ia bersifat ‘rompakan’.

Bagaimanapun amat mengejutkan apabila isu MPKK ini bagaikan tiada penyelesaian dan terus kabur dari konteks pelaksanaannya.

Sedangkan MPKK ini jika dilaksanakan dengan baik mampu mewujudkan landasan berikut:

1. Masyarakat luar bandar diberikan lebih peranan untuk menyumbang gagasan dari awal hingga ke peringkat pelaksanaan. Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pasti boleh menjadi fasilitator pembangunan;

2. Masyarakat bawahan lebih aktif memberikan pendapat, idea dan gagasan berdasarkan situasi sebenar di luar bandar; dan

3. Pemimpin luar bandar menjadi lebih dominan dan mereka tahu dengan sepenuhnya apa dan kesan pelaksanaan pembangunan dari awal hingga akhir. Jika gagal, apakah kerajaan pusat dan negeri wajar dipersalahkan? Mereka perlu ambil tanggungjawab.

Mungkin ada perbezaan pandangan antara KPLB dengan orang bawahan tetapi dengan reformasi yang menekankan integriti dan kecekapan, isu seperti ini pastinya tidak wajar timbul.

Pupus kalau dipinggirkan

Memanglah bagi yang pesimis mereka akan mengatakan hasil pembangunan belum tentu baik tetapi dengan KPLB menjadi fasilitator proses semak dan imbang, hasilnya boleh raih secara maksimum.

Paling penting ciri bottom-up jawapan kepada reformasi pembangunan negara yang selama ini bersifat top-down.

HARAPAN perlu ingat beberapa perkara penting:

1. Pengundi yang setia kepada kerajaan ialah rakyat yang kebanyakannya berada dari luar bandar, manakala yang lain mengikut kepentingan dan suasana politik;

2. Parti seperti BERSATU, AMANAH dan PKR mendapat sumber sokongan dari luar bandar walaupun diakui pada masa sama AMANAH dan PKR boleh mendapat sokongan pengundi campuran;

3. BERSATU mahu ganti Umno, iaitu sebuah parti yang banyak dibantu oleh pengundi luar bandar; dan

4. Sokongan orang Melayu dan Islam kepada kerajaan akan pupus sekiranya luar bandar dipinggirkan.

Apabila disebut luar bandar, ia bukan bermakna merujuk kepada aspek fizikal tetapi juga pergerakan rakyat dan pemikiran mereka.

Ramai penduduk bandar asalnya dari luar bandar dan skop pemikiran mereka boleh berubah mengikut keadaan – bandar dan luar bandar.

Kita lihat orang yang berhijrah ke bandar untuk bekerja, mencari rezeki dan peluang, apabila tiba musim pilihan raya, negeri-negeri seperti Kelantan dan Terengganu menerima pulang pengundi dari luar termasuk Singapura dan selatan Thailand.

Bukan sedikit, malah berjuta pengundi luar bandar akan pulang. Ia juga diibaratkan sebagai "hari raya lima tahun sekali".

Ciri-ciri ini menggambarkan kekuatan komuniti luar bandar.

Dan apabila disebut luar bandar, menteri dan kementerian yang terbayang pantas tentulah KPLB.

Di situlah banyak agensi berkaitan luar bandar ditempatkan dan sewajarnya menjadi nukleus kepada pembangunan luar bandar.

Perancangan dan pelaksanaan dasar dan programnya mestilah memanfaatkan penduduk luar bandar.

Risda, Felcra, MARA dan banyak agensi lain seperti KEMAS dan MPKK antara agensi penting di bawah KPLB.

Kenapa perdana menteri meletakkan menteri BERSATU menjalankan tugas mengetuai KPLB?

Ia pastinya berkaitan dengan fungsi kementerian berkenaan. Malah kementerian ini yang diwujudkan semula oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri keempat ialah kerana ia memang penting.

Kementerian inilah yang mampu mendengar suara dan naluri rakyat luar bandar.

Pendapat dan hasrat rakyat luar bandar boleh dan sewajarnya sampai ke kerajaan dan Putrajaya melalui kementerian ini. Bukan sebaliknya.

Namun, adakah menteri yang dilantik sensitif dan bersedia mendengar hasrat rakyat?

Jika HARAPAN mahu membezakan cara pentadbirannya di peringkat mukim dan luar bandar berbanding BN, inilah masa untuk membuktikannya.

Banyakkan peruntukan untuk luar bandar iaitu tempat kebanyakan rakyat bumiputera dan Islam tinggal.

Benarkan perancangan dan pelaksanaan pembangunan dijalankan secara terbuka dan adil oleh wakil penduduk luar bandar.

Melalui cara ini, keyakinan penduduk luar bandar akan dapat dipupuk dan akan memudahkan HARAPAN mendapat sokongan – sama ada untuk tujuan menggembleng tenaga untuk pembangunan atau sokongan dalam pilihan raya.

Kini bola berada di kaki menteri dan KPLB.


HAMBALI ABDUL LATIFF ialah perunding media dan bekas pengarang.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS