Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pasukan Azmin kuasai saingan kepimpinan PKR
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:19 AM


PEMILIHAN PKR | Calon timbalan presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berada dalam kedudukan selesa dalam persaingan pemilihan parti itu yang masuk minggu terakhir.

Sebahagian besar sekutu Azmin sudah mencapai tanda aras undi yang tidak dapat dipertikaikan, menjadikan kedudukan mereka hampir terjamin.

Selepas Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) mengeluarkan keputusan interim malam tadi, Azmin kini memiliki undi keseluruhan sebanyak 59,594 undi berbanding pencabarnya, Rafizi Ramli, 56,392 undi.

Azmin mendahului Rafizi dengan majoriti 3,172 undi.

Walau bagaimanapun, sekutu bekas menteri besar Selangor itu menunjukkan undi yang mereka raih lebih besar berbanding Azmin, dalam menguasai pemilihan PKR yang masih lagi berlangsung ini.

Sebagai contoh, dalam perebutan naib presiden yang menawarkan empat jawatan, Zuraida Kamaruddin mendapat jumlah undi 52,226, Xavier mempunyai 47,566 undi dan Tian Chua memperolehi 42,608 undi.

Johari perlu tampung kekurangan 4,888 undi

Satu-satunya calon yang tidak sepasukan dengan Azmin tetapi berada pada kedudukan teratas ialah Nurul Izzah Anwar dengan 67,050 undi.

Shamsul Iskandar yang juga sekutu Azmin berada pada kedudukan kelima, mendapat 41,008 undi.

Sementara itu bagi sekutu Rafizi pula, Datuk Johari Abdul (37,720 undi), William Leong (36,136 undi) dan S Kesavan (34,406).

Itu bermakna bagi sekutu Rafizi yang lain untuk mencapai kedudukan empat teratas - Johari adalah yang paling dekat - beliau perlu menampung kekurangan sebanyak 4,888 undi.

Jurang ini sama besar bagi pertandingan ketua wanita dan timbalan ketua wanita PKR serta timbalan ketua AMK.

Bagi ketua wanita PKR, Haniza Talha memperolehi 24,179 undi mengatasi sekutu Rafizi, Fuziah Salleh yang mempunyai 19,662 undi.

Haniza meninggalkan Fuziah dengan majoriti 4,517 undi.

Persaingan timbalan ketua wanita PKR pula menyaksikan sekutu Azmin, Daroyah Alwi, meraih 23,599 undi berbanding pesaingnya Rodziah Ismail yang mendapat 18,006 undi, dengan majoriti 5,593 undi.

Begitu juga untuk jawatan timbalan ketua AMK, setiausaha politik Azmin, Hilman Idham mendahului saingan dengan majoriti 8,411 undi.

Hilman mendapat 16,951 undi berbanding sekutu Rafizi, Raymond Ahuar yang memperolehi 8,440 undi. Calon ketiga, Naquiddin Nazrin pula mempunyai 2,712 undi.

Sekutu Azmin kuasai 15 kerusi MPP

Jawatan ketua AMK menyaksikan pertarungan paling sengit. Sekutu Azmin, Afif Bahardin memperolehi 14,000 undi berbanding protege Rafizi, Akmal Nasir, yang mendapat 13,169 undi, ketinggalan sebanyak 831 undi. Calon ketiga, Najwan Halimi pula mendapat 2,982 undi.

Bagi saingan Majlis Kepimpinan Pusat (MPP) PKR, yang menawarkan 20 jawatan, sekutu Azmin menguasai 15 jawatan tersebut, manakala lima lagi sekutu Rafizi.

Rafizi dan sekutu-sekutunya perlu memenangi majoriti besar minggu depan untuk mengejar kekurangan undi mereka.

Untuk rekod, selepas 12 negeri termasuk wilayah persekutuan mengadakan pemilihan, tiada suatu negeri pun kecuali Selangor yang telah memberikan majoriti kemenangan lebih daripada 3,000 undi kepada seorang calon timbalan presiden tunggal.

Selangor, yang mempunyai keanggotaan terbesar PKR sebanyak 31 peratus, memberikan majoriti 3,408 undi kepada Azmin. 

Majoriti berikutnya adalah dari Perak, yang merangkumi tujuh peratus daripada jumlah keseluruhan anggota PKR, yang memberi Rafizi kemenangan dengan kelebihan 2,244-undi.

Minggu depan, ahli PKR di Sarawak bersedia untuk mengundi manakala pengundian semula akan diadakan di Melaka.

Sarawak membentuk hampir enam peratus daripada keanggotaan PKR manakala Melaka membentuk tiga peratus.

Cabang PKR di Kuala Selangor, Labuan dan Jelebu juga akan mengundi.

Status pemilihan cabang Pensiangan, Keningau dan Tawau di Sabah masih tidak jelas kerana JPP PKR mengumumkan keputusan negeri berkenaan tanpa tiga bahagian tersebut.

Untuk mendapatkan keputusan terperinci yang dikemaskini hari ini, kunjungi penjejak pemilihan PKR yang disediakan Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS