Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi gesa JPP umum keputusan 3 cabang di Sabah
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 10:21 PM
Dikemaskini: 2:29 PM

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) perlu mengumumkan segera keputusan pengundian di cabang Pensiangan, Keningau dan Tawau, gesa calon timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli.

"Keputusan pemilihan di Sabah hujung minggu lalu tidak termasuk keputusan di cabang-cabang Pensiangan, Keningau dan Tawau yang ditangguhkan.

"Saya menyeru supaya JPP dengan segera mengumumkan pengundian di cabang-cabang yang keputusannya digantung itu," kata bekas MP Pandan dalam suatu kenyataan di Facebooknya.

Pada pemilihan 3 November lalu di Keningau, Rafizi mendakwa diserang dan telah membuat laporan polis mengenai hal itu.

Selain itu, dilaporkan berlaku kekecohan di cabang PKR Keningau yang menyebabkan pasukan polis Simpanan Persekutuan (FRU) tiba untuk meleraikan ketegangan.

Dalam kejadian tersebut, dilaporkan kumpulan yang tidak berpuas hati bertindak memecahkan pintu dan dinding balai raya berkenaan, selain mereka juga membaling kerusi dalam pusat pengundian itu.

Calon kartel pemangku ketua cabang

Bagaimanapun, pada hari ini Rafizi mendakwa pemilihan di Keningau tergendala kerana "calon kartel bagi jawatan pemangku ketua cabang" telah memilih dewan yang bersaiz kecil, selain kawasan itu tiada liputan telefon dan internet.

"Calon kartel (pemangku ketua cabang) memilih satu dewan kecil di sebelah rumah beliau yang hanya boleh memuatkan 20 orang pada satu-satu masa.

"Kawasan itu juga tidak mempunyai liputan telefon, apatah lagi liputan internet," katanya.

Istilah kartel digunakan Rafizi bagi merujuk kepada pasukan pesaingnya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Rafizi juga mendakwa ramai penyokongnya tidak dibenarkan mengundi di Keningau dan Pensiangan.

"Sabtu lepas, dianggarkan lebih dari 1,000 orang pengundi saya tidak dibenarkan mengundi di Keningau. Keadaan yang sama berulang di Pensiangan," katanya.

Namun demikian, penyandang ketua cabang Keningau Johari Tahir pada hari kejadian berkata kekecohan tercetus selepas Rafizi masuk ke pusat pengundian dan 'memprovokasi' pegawai JPP yang sedang bertugas.

Sementara itu, Rafizi juga meminta penyokongnya supaya tidak berduka walaupun keputusan tidak rasmi menunjukkan pasukannya telah kalah dalam pemilihan di Sabah.

"Sebab itu, saya memohon supaya pendokong #Reformasi20Tahun yang telah berusaha sebaik mungkin setakat ini, untuk tidak gundah-gulana walaupun digembar-gemburkan seolah-olah kita telah kalah di Sabah," katanya.

Bagi pemilihan di Sarawak hujung minggu ini, Rafizi mengingatkan JPP supaya kesilapan yang sama tidak berulang.

"Saya menyeru supaya tiada tangan-tangan ghaib yang cuba menekan cabang-cabang besar yang bersama dengan (pasukan Rafizi) #Reformasi20Tahun, seperti di cabang Julau," katanya.

Dengan memasukkan keputusan tidak rasmi dari Sabah ini, secara keseluruhannya Azmin meraih 60,091 undi, manakala Rafizi pula mengejar di belakang dengan 56,796 undi.

Azmin mendahului dengan majoriti sebanyak 3,295 undi.

Untuk mendapatkan keputusan terperinci yang dikemaskini hari ini, kunjungi penjejak pemilihan PKR di sini yang disediakan Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS