Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Biasanya pembalak berhenti sendiri bila musim tengkujuh'

Kerajaan PAS Kelantan hairan dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang meminta mereka mengikut langkah Pahang menghentikan kerja pembalakan semasa musim tengkujuh.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, sudah menjadi amalan syarikat pembalakan untuk menghentikan aktiviti mereka pada musim ini seawal bulan Oktober biarpun tanpa arahan rasmi kerajaan.

"Memang dulu kita buat (arahan), cuma tahun ini kita belum keluarkan arahan lagi. Bulan November dan Disember kita minta semua pembalak hentikan aktiviti.

"Dan biasanya pengalaman yang lepas, pembalak sendiri tak buat kerja musim tengkujuh, biasanya mereka slow down dan ada sebahagiannya hentikan terus. Sebab memang tak bolek buat kerja kerana hujan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini sebagai mengulas gesaan Dr Wan Azizah supaya Kelantan mengikut langkah Pahang yang membekukan pembalakan pada musim bah.

Menurut beliau, langkah itu sepatutnya menjadi contoh kepada negeri lain termasuk Kelantan dan Terengganu bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.

"Inisiatif yang dilakukan Pahang itu bagus kerana kita takut berlaku kejadian yang tidak diingin ketika musim tengkujuh. Jika negeri lain membuat pendekatan sama, ia lebih baik," katanya.

Ramai tak faham

Sementara itu Mohd Amar yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor berkata, sama ada arahan supaya hentikan pembalakan sementara itu bergantung kepada Jabatan Perhutanan Negeri.

"Kalau tak ada arahan pun biasanya mereka tak buat kerja, (arahan) itu bergantung pada Jabatan Perhutanan, tak ada arahan kerajaan negeri.

"Kita tengok keadaan, amalan biasa mereka tak buat kerja. Macam mana nak buat kerja kerana hujan lebat, nak bawa keluar balak (tak boleh), jalan becak," katanya.

Menurut Mohd Amar, kerajaan negeri sememangnya sudah membekukan kelulusan penebangan balak sejak 2013.

Katanya, aktiviti yang berlangsung sekarang hanya melibatkan kelulusan-kelulusan sebelum daripada itu.

"Ramai orang tak faham, aktiviti pembalakan ini melibatkan kelulusan dasar dan kelulusan lesen.

"Katakan tahun ini kita bagi kelulusan dasar, tetapi lesen kadang-kadang sampai dua tiga tahun baru lulus.

"Jadi banyak orang tak faham, mereka ingat yang tebang itu (diberi) kelulusan tahun yang sama. Kelulusan dasar dan lesen berbeza," katanya.

Lihat Komen
ADS