Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'GST bagus tapi dicemari salah urus kerajaan dulu'

Nota editor: Versi sebelumnya secara salah menyebut Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan Mohd Hassan Ahmad yang berkata GST sebagai sistem yang baik tetapi tercemar ekoran kerajaan dulu. Kenyataan itu dibuat Ketua Kajian Ekonomi Kenanga Investment Bank Berhad Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie. Kesilapan itu dikesali.

GST adalah sistem cukai yang bagus tetapi reputasinya dicemari oleh salah urus pentadbiran lalu, kata ahli ekonomi Wan Suhaimie Wan Mohd Saidie.

Justeru ketua Kajian Ekonomi Kenanga Investment Bank Berhad itu berharap kerajaan akan melaksanakan sistem cukai itu selepas keadaan ekonomi negara pulih.

"Ia bagus untuk kunci kira-kira (balance sheet) kerajaan. Cuma dalam aspek pelaksanaan, ia tercemar ekoran salah urus tadbir pentadbiran lalu.

"Saya simpati terhadap kerajaan sekarang kerana mereka telah berjanji (untuk mansuh GST), dan mereka perlu tunaikannya.

"Saya percaya satu hari nanti patut kembali kepada GST. Persoalannya bila. Bila negara akan bersedia untuk itu," katanya dalam forum anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas komen Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam yang menyifatkan tindakan kerajaan memansuhkan GST sebagai kesilapan besar.

Panel lain adalah Pengarah Penarafan Hutang Kerajaan S&P Global Ratings Singapura Andrew Wood dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali.

Turut hadir sebagai hadirin adalah Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Johan Mahmood Merican, Timbalan Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan Mohd Hassan Ahmad dan dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Galakan Cukai dan Sektoral) Kementerian Kewangan Sharifah Adlina Syed Abdullah.

Wan Suhaimie berkata kerajaan diharapkan dapat menimbang untuk mengembalikan GST ketika keadaan ekonomi menjadi baik, mungkin selepas 2020.

Sementara itu, Johan setuju ramai hadirin berkongsi sentimen sama, tetapi kerajaan telah menyatakan komitmen untuk menghapuskannya.

Katanya, kerajaan juga sedar akan kelemahan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan telah memperkenalkan beberapa langkah untuk menanganinya.

Dalam pembentangannya tentang cadangan Belanjawan 2019, Johan berkata apa yang dicadangkan bukanlah belanjawan pengembangan walaupun belanjawan pengurusan tampak meningkat.

Beliau berkata kebanyakan peningkatan disebabkan pembayaran tunggakan RM37 bilion untuk GST dan bayaran balik cukai pendapatan, yang hampir semuanya menggunakan peruntukan 'one off' RM30 bilion daripada dividen Petronas.

Petronas akan membayar dividen berjumlah RM54 bilion kepada kerajaan persekutuan.

'Belanjawan pengurusan memang sentiasa meningkat'

Katanya lagi, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan bayaran balik cukai sebagai item perbelanjaan dan tidak mengimbanginya terhadap hasil kerajaan, dan itu memberi gambaran kenaikan kepada belanjawan pengurusan.

"Tetapi jika anda tidak ambil kira bayaran balik cukai - untuk anggaran jumlah tahun ini dan tahun depan - ia akan memberi gambaran yang sangat berbeza. Anda akan lihat keseluruhan perbelanjaan akan berkurang daripada RM286.5 bilion to RM277.5 bilion.

"Dalam situasi biasa, anda mungkin fikir penjimatan RM9 bilion atau tiga peratus daripada perbelanjaan sebagai parkara yang relatifnya mudah, tetapi sebenarnya, setiap tahun pada masa lalu, belanjawan pengurusan sentiasa meningkat," katanya lagi.

Sebelum ini penganalisis memberi amaran kebergantungan semula terhadap hasil daripada minyak untuk mendanai perbelanjaan kerajaan akan menjadikan ekonomi negara lebih mudah terdedah dengan kejutan luar, seperti naik turun harga minyak dan kadar tukaran RM-dollar AS.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga memberi amaran agar kerajaan tidak mengancam masa depan Petronas dengan "menjarah" rizabnya.

Kerajaan sebelum ini mendakwa Najib dan pentadbirannya tidak membuat bayaran balik GST. Beliau menafikan sebarang salah laku berkenaan hal itu.


Lihat Komen
ADS