Peguam Rosmah mohon lebih masa pindahkan kes ke Mahkamah Tinggi
Peguam Datin Seri Rosmah Mansor telah memohon kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tempoh satu bulan untuk memohon bagi memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi sementara menunggu penyerahan satu dokumen khusus dari pihak pendakwaraya.
Peguamnya K Kumaraendran berkata mereka telah menerima kira-kira 600 muka surat dokumen dari pihak pendakwaan tetapi pasukan peguambela masih menunggu satu penyata bank.
"Boleh saya cadangkan tempoh sebulan untuk sebutan seterusnya dan sebelum hari itu, kami akan memfailkan permohonan," katanya di Mahkamah Sesyen hari ini.
Hakim Azura Alwi membenarkan permintaan itu, dan menetapkan 6 Dis sebagai tarikh sebutan yang akan datang untuk kes itu.
Hakim Mahkamah Persekutuan yang bersara, Gopal Sri Ram, yang mengetuai pasukan pendakwa, berkata mereka tidak akan membantah, tetapi meminta mahkamah memstikan pihak defenden tidak memfailkan permohonan pada saat-saat akhir seperti sehari sebelum tarikh sebutan berikutnya.
Kumaraendran memberi jaminan kepada mahkamah bahawa mereka akan memfailkan permohonan itu untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi sekurang-kurangnya beberapa hari sebelum tarikh sebutan yang berikutnya.
"Saya boleh memberi jaminan bahawa kami akan melakukannya sebelum 5 Dis," katanya.
Pada 4 Oktober, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menghadapi 17 pertuduhan pengubahan wang haram.
Dua belas daripda tuduhan itu mengenai deposit berjumlah RM7.1 juta dalam akaun bank peribadinya pada tahun 2013 hingga 2017 dan baki lima tuduhan kerana gagal mengisytiharkan pendapatan.

