ICERD: Mujahid temui ilmuan, peguam, NGO Islam
Beberapa ilmuan, siswa, peguam dan NGO Islam bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa bagi membincangkan hasrat Malaysia untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Mujahid yang bertanggungjawab terhadap urusan hal ehwal agama menyatakan mesyuarat yang berlangsung selama tiga jam itu dijalankan selaras dengan jaminan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan membincangkan hal ini dengan semua pihak yang berkepentingan, termasuklah semua kaum, sebelum meratifikasi ICERD.
Pertemuan itu berlangsung malam tadi di masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.
"Pertemuan itu... berlangsung secara harmoni dengan semua pihak melontarkan pandangan, cadangan dan ada juga yang menyatakan kebimbangan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD.
"Antara rumusan yang boleh saya buat berhubung pertemuan malam tadi ialah, tiada sesiapa mahu menggadaikan prinsip negara serta menjejaskan agama Islam sebagai identiti negara ini.
"Insya-Allah, selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, hasil pertemuan pada malam tadi akan dibawa kepada pihak berwajib agar penelitian dapat dilakukan," kata menteri dalam suatu kenyataan hari ini.
Teliti, tidak tergesa-gesa
Pada Selasa lalu, Mujahid menggesa semua pihak supaya tidak membuat andaian melampau mengenai isu ini.
"Masyarakat dinasihat untuk tidak membuat andaian melampau berhubung hasrat Malaysia untuk meratifikasi ICERD yang boleh menimbulkan berbagai persepsi negatif dalam hubungan antara kaum di negara ini.
Beliau juga berkata kerajaan juga tidak tergesa-gesa berhubung rundingan berkenaan dan akan meneliti terlebih dahulu perkara tersebut dengan lebih terperinci.
"Apa yang ingin saya nasihatkan dalam hal ini, kita perlu menerima nasihat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa perkara ini perlu dibincang dahulu, tidak boleh tergesa-gesa dan kita pun tidak melihat perkara ini perlu dibuat tergesa-gesa," katanya.
Terdahulu, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Umno menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
“Jangan usik apa termaktub dalam perlembagaan, jangan usik umat Islam atau sama ratakan Islam dengan agama lain, jangan usik kedaulatan Raja-Raja Melayu, jangan ganggu gugat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Kita bukan mahu jadi perkauman atau ekstremis agama, kita juga tidak minta lebih daripada itu, kita mahu hak-hak yang ada dalam perlembagaan dikekalkan,” katanya.

