Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: SPRM kena jelaskan isu Musa Aman, bukan Gani

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak melihat wujud keperluan untuk mendesak bekas peguam negara Abdul Gani Patail memberi penjelasan mengapa Musa Aman tidak didakwa sebelum ini.

Sebaliknya kata perdana menteri pihak yang 'berhutang' untuk memberi penjelasan ialah agensi yang menjalankan siasatan ke atas bekas ketua menteri Sabah terbabit iaitu SPRM.

"Kalau dia (Abdul Gani) beri penjelasan pun, itu tidak akan membantu (menjelaskan apa yang terjadi).

"Orang lain yang mesti buat penjelasan [...] orang lain itu maksudnya bahagian antirasuah (SPRM) dan yang berkaitan.

"Mereka mesti beri penjelasan mengapa pada waktu itu tidak ada pendakwaan (ke atas Musa)," katanya kepada media di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.

Pada 5 Nov lalu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menyatakan rasa hairan apabila Musa tidak didakwa lebih awal selepas pemimpin Umno itu disiasat atas tuduhan rasuah dan ada bukti mencukupi untuk berbuat demikian.

Gopal ialah ketua pasukan pendakwaan yang bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara dalam kes perbicaraan kes rasuah yang didakwa dilakukan Musa.

Semasa menyatakan pandangannya kepada Malaysiakini Gopal memetik nama Abdul Gani yang ketika itu menjadi peguam negara.

Tentu ada sebab

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng pula berkata Abdul Gani bertanggungjawab menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa Musa semasa berkhidmat.

Lim juga membangkitkan kemungkinan langkah itu ada kaitan dengan hubungan kekeluargaan di antara Abdul Gani dan Musa seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini.

"Oleh itu, Abdul Gani wajib menjelaskan kepada orang ramai mengapa dia tidak mendakwa Musa. Adakah Gani tidak mendakwa Musa kerana dia takut kepada Musa atau Najib?

"Atau adakah kerana Abdul Gani ada kaitan dengan Musa? Abdul Gani mesti menjelaskan keputusannya dan jelaskan kecurigaan terhadapnya kini," katanya.

Pada 5 Nov lalu Musa yang juga wakil rakyat Sibuga didakwa atas 35 tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kesemua tuduhan itu melibatkan dana berjumlah kira-kira RM263 juta.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Kata Dr Mahathir beliau berpendapat ada alasan mengapa Musa tidak didakwa sebelum ini.

"Ada sebab untuk itu.

"Saya fikir perkara itu tidak difahami sepenuhnya, dan saya fikir kita akan melihat beberapa penjelasan yang tidak dibuat oleh (bekas) peguam negara sendiri," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS