Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP: Gani kena jelaskan sebab tak dakwa Musa Aman
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 11:08 AM
Dikemaskini: 8:03 AM

Bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail bertanggungjawab menjelaskan mengapa beliau tidak mendakwa bekas ketua menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman semasa tempoh perkhidmatannya, kata Anggota Parlimen Pakatan Harapan, Lim Lip Eng.

Anggota Parlimen Kepong itu mempersoalkan sama ada Gani - yang berasal dari Sabah - enggan mendakwa Musa kerana mempunyai hubungan keluargaan seperti yang dilaporkan sebelum ini.

"Oleh itu, Gani, wajib menjelaskan kepada orang ramai mengapa dia tidak mendakwa Musa. Adakah Gani tidak mendakwa Musa kerana dia takut kepada Musa atau bekas PM Najib?

"Atau adakah kerana Abdul Gani ada kaitan dengan Musa? Abdul Gani mesti menjelaskan keputusannya dan jelaskan kecurigaan terhadapnya kini," kata Lim dalam satu kenyataan.

Musa, yang merupakan ADUN Sungai Sibuga Isnin lalu menghadapi 35 tuduhan rasuah kerana menerima sejumlah AS$ 63,293,924.88 juta (RM263 juta) rasuah dalam kontrak pembalakan antara 2004 dan 2008.


Baca: Musa berdiri hampir sejam dengar 35 tuduhan rasuah RM263j


Beliau memohon dibicarakan terhadap tuduhan berkaitan dakwaan sogokan yang diterima daripada 16 syarikat konsesi balak ketika menjadi pengerusi Yayasan Sabah.

Tuduhan itu juga menamakan Michael Chia, seorang usahawan balak dan rakan baik kepada bekas ketua menteri itu.

Pihak pendakwaan yang diketuai Tan Sri Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bahawa kes terhadap Musa telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetapi kes berkenaan kemudian diarahkan ditutup.

Sri Ram juga menyatakan rasa terkejut kerana Gani tidak mengarahkan Musa untuk didakwa pada masa itu.

Pada 2012, menteri undang-undang ketika itu Datuk Seri Nazri Aziz memberitahu Dewan Rakyat bahawa tiada masalah bagi Umno Sabah untuk menerima sumbangan RM40 juta yang diterima daripada Chia.


Baca: Nazri kata sumbangan RM40j 'tiada masalah'


Dalam jawapan bertulis kepada Parlimen, Nazri juga berkata elemen rasuah tidak dibuktikan dalam kes tersebut.

Ini selepas Suruhanjaya Bebas terhadap Rasuah Hong Kong (ICAC) merampas kira-kira RM40 juta dolar Singapura pada tahun 2008, yang ditemui dalam bagasi Chia sebelum menaiki pesawat ke Malaysia.

Panel Semakan Operasi SPRM pada tahun 2012 meminta Gani mengkaji semula keputusan untuk tidak mendakwa Musa atas tuduhan rasuah.

"Bukan sahaja seluruh menteri kabinet BN pada 2012 bertanggungjawab terhadap jenayah yang didakwa dilakukan Musa, seluruh anggota parlimen BN pada tahun itu perlu dibersihkan sekarang jika mereka bersubahat.

"Pihak berkuasa perlu menyiasat mereka jika mereka terus menafikan atau membisu," kata Lim.

Nazri baru-baru ini berkata beliau tidak pernah membersihkan Musa seperti yang didakwa pemimpin Umno Sabah itu.

Sebaliknya Nazri berkata SPRM sebenarnya membebaskan Musa dan beliau hanya membaca hasil siasatan berhubung kes itu.

Malaysiakini beberapa kali cuba menghubungi Gani namun tidak berhasil.

Lihat Komen
ADS