Ahli Dewan Undangan Negeri Pending, Violet Yong mahu SPRM menyiasat segera Air Pancut Darul Hana yang didakwa mencecah RM31 juta yang dibina di hadapan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kuching, Sarawak.

Katanya, air pancut berirama di tebing Sungai Sarawak, yang dirasmikan sempena sambutan hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, baru-baru ini adalah yang termahal di Malaysia.

Menurut pemimpin DAP itu, adalah tidak masuk akal membelanjakan wang pembayar cukai hanya untuk membina air pancut yang hanya mempunyai tiga komponen asas iaitu air, muzik dan lampu.

“Ini hanyalah air pancut biasa yang sebahagian besarnya dari China. Selain itu, ia tidak memaparkan apa-apa kesan istimewa lain, tidak seperti yang di Dubai yang disertai dengan pertunjukan api dan cahaya.

“Oleh itu, tidakkah kita terfikir projek itu terlalu mahal, dengan peruntukan itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan lain yang memberi lebih banyak faedah kepada rakyat,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online ketika membahaskan Bajet Sarawak 2019 pada Persidangan DUN Sarawak, di Kuching hari ini.

Yong berkata beliau juga difahamkan tiada tender terbuka dibuat untuk pelaksanaan projek berkenaan yang diletakkan di bawah tadbir urus Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

“Malah, ketika projek itu dibina, tiada langsung papan tanda projek didirikan di tapak projek,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendedahkan identiti kontraktor membina air pancut itu.

Malah, katanya, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, sendiri sentiasa mengelak untuk menjawab isu berkenaan apabila didedahkan media, terutama kos pembinaannya yang tidak masuk akal.

“Apa yang begitu rahsia dengan syarikat yang membina air pancut mahal ini,” katanya.

Beliau juga mengkritik Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) kerana gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Jadi, saya ingin menggesa SPRM untuk menyiasat projek ini dengan segera,” katanya.