Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid maksudkan Daim dan rakan bilionair tadbir k'jaan, bukan Dr M
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 3:09 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim menjelaskan kenyataannya bahawa keputusan kerajaan dipengaruhi 'jutawan dan tauke' tidak ditujukan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebaliknya beliau berkata kenyataan tersebut merujuk kepada bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin.

"Tun M ternyata kecewa dengan kenyataan saya, malangnya beliau salah faham tulisan saya. Saya tidak mengatakan dia mempunyai berbilion (ringgit).

"Lebih malang lagi saya terpaksa memberitahu apa yang dikatakan orang lain, iaitu: Daim dan rakan-rakan jutawannya mentadbir kerajaan," kata Zaid di Twitter hari ini.

Rabu lalu, Zaid mendakwa manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menjanjikan negara berkebajikan kini dipengaruhi oleh "jutawan dan tauke".

"Lihat manifesto mereka (PRU14) dan kamu boleh memberitahu ia ditulis oleh idealis dan ahli akademik yang menggambarkan harapan untuk kesamarataan dan negara egalitarian.

"[...] Masalahnya ialah pembuat keputusan yang sebenar di pihak kerajaan HARAPAN bukanlah sosialis atau penyokong sistem kebajikan. Mereka adalah jutawan dan tauke yang hampir dan selari dengan pemikiran ekonomi Mahathir,"katanya.

Mahathir sebagai reaksi terhadap kenyataan Zaid semalam, meminta bekas pemimpin Umno dan DAP itu supaya mengemukakan bukti.

“Tak tahulah mungkin dia ada bukti. Jadi dia boleh tunjukkan bukti.

“Berapa bilion saya ada, kamu tengoklah,” kata perdana menteri.

Kehadiran Daim sebagai tokoh utama dalam kerajaan HARAPAN sebelum ini tidak disenangi banyak pihak.

Pengkritik menyatakan kebimbangan bahawa beliau mempengaruhi keputusan kerajaan terutamanya selaku pengerusi Majlis Penasihat kerajaan (CEP).

Bagaimanapun, Mahathir berkata CEP hanya boleh membuat cadangan, tetapi keputusan akhir dibuat beliau selaku perdana menteri.

Khidmat Daim juga digunakan sebagai diplomat dan dihantar ke China untuk berunding mengenai beberapa projek termasuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lihat Komen
ADS