Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM jawab Dr M: AGC yang tak dakwa Musa
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 5:28 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil menjawab kenyataan perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai mengapa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman tidak didakwa sebelum ini.

Ini selepas Mahathir mempersoalkan keperluan suruhanjaya itu mendesak bekas peguam negara Gani Patail memberi penjelasan mengapa Musa tidak didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.

"SPRM telah menjalankan siasatan terhadap Musa dan kertas siasatan tersebut diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara pada Julai 2012 untuk tindakan selanjutnya.

"Bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara telah memutuskan untuk tidak meneruskan pendakwaan memandangkan kerana siasatan tertumpu kepada sumbangan politik.

"Dasar Pejabat Peguam Negara pada ketika itu telah menetapkan untuk tidak menuduh kes yang melibatkan sumbangan politik," kata SPRM dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, SPRM berkata pihaknya telah mengkaji semula kertas siasatan terhadap Musa beberapa bulan lalu setelah memperoleh maklumat baharu berhubung kes tersebut.

"SPRM telah mengemukakan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara untuk dikaji semula. 

"Peguam Negara kemudiannya memutuskan bahawa Musa berhadapan 35 pertuduhan kes rasuah di bawah Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Terdahulu, Mahathir semalam berkata beliau tidak melihat wujud keperluan untuk SPRM mendesak Gani untuk memberi penjelasan.

Sebaliknya kata perdana menteri pihak yang 'berhutang' untuk memberi penjelasan mengapan Musa tidak didakwa sebelum ini ialah SPRM sendiri.

Pada 5 Nov lalu Musa yang juga wakil rakyat Sibuga didakwa atas 35 tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Kesemua tuduhan itu melibatkan dana berjumlah kira-kira RM263 juta.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Pada hari yang sama bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menyatakan rasa hairan apabila Musa tidak didakwa lebih awal selepas pemimpin Umno itu disiasat atas tuduhan rasuah dan ada bukti mencukupi.

Lihat Komen
ADS