Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengguna lebuh raya Pan Borneo diminta lapor jalan rosak tidak dibaiki
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 3:29 PM
Dikemaskini: 7:34 AM

Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa pengguna Lebuhraya Pan Borneo Sarawak membuat laporan rasmi kepada KKR berhubung keadaan jalan raya yang rosak jika tiada tindakan dilakukan kontraktor.

Menterinya, Baru Bian berkata beliau telah mengarahkan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd, rakan penyampai projek bagi negeri Sarawak, agar memastikan tiada pelanggaran peraturan keselamatan semasa menjalankan projek naik taraf Lebuhraya Pan Borneo termasuk memasang papan tanda trafik dan membaiki jalan berlubang.

“Sila buat laporan terus kepada saya melalui laman web saya, jika tiada tindakan dilakukan dan tindakan harus dibuat dalam tempoh 24 jam,” katanya kepada pemberita selepas melaksanakan undian e-voting di cabang Lawas PKR di Stadium Tertutup Lawas di sini hari ini.

Selain itu, Baru mahu pengguna jalan raya membuat laporan secara spesifik dengan menyertakan gambar, lokasi sebenar dan nama kontraktor yang terlibat di laluan tertentu sepanjang lebuh raya itu.

Untuk rekod, pengguna jalan raya boleh membuat laporan di laman web rasmi KKR di www.kkr.gov.my.

Berhubung aduan yang semakin banyak diterima mengenai kerosakan jalan raya yang teruk dari Sibu ke Bintulu terutama di kawasan Selangau-Tatau susulan pembinaan lebuh raya itu, Baru berkata KKR sedia maklum mengenai masalah tersebut dan menggesa pengguna membuat laporan rasmi kepada kontraktor rakan penyampai projek terlebih dahulu.

“Saya antara sebahagian delegasi jelajah Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dari Telok Melano ke Miri baru-baru ini dan saya pergi ke Selangau, saya tidak lihat jalan berlubang, semuanya okay, mungkin (kontraktor) tahu menteri datang,” katanya.

Pengguna jalan raya berkongsi di Facebook dan WhatsApp pengalaman buruk mereka ketika memandu di laluan Tatau dan Selangau, mendakwa kira-kira 20 kenderaan pancit tayar berikutan banyak jalan berlubang.

Klip video jalan yang rosak itu viral di media sosial minggu ini menunjukkan kenderaan cuba mengelakkan jalan yang berlubang itu, keadaan lebih teruk apabila pemandu tidak dapat melihat jalan yang berlubang pada musim hujan sekarang, walaupun banyak laporan rasmi dibuat kepada pihak berkuasa.

Pada tahun lepas, laluan yang sama turut menjadi tajuk utama berita menyebabkan Menteri Kerja Raya ketika itu, Datuk Seri Fadillah Yusof mengadakan pertemuan segera dengan kontraktor untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS