Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Takkan di majlis kahwin tanya bila nak bercerai - Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik enggan menjawab soalan wartawan mengenai isu peletakan jawatan sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Sebaliknya Maszlee menyifatkan pertanyaan seperti itu sebagai tidak menghormati tuan rumah selepas beliau merasmikan majlis konvokesyen universiti itu hari ini.

"Di mana you dapat berita ini?" soalnya kepada wartawan yang bertanya.

Apabila wartawan tersebut mengatakan maklumat itu diperoleh daripada salah seorang pembantunya, Maszlee menyifatkan wartawan berkenaan sebagai 'tetamu tidak diundang'.

"Saya tak fikir sesuai bincangkan perkara itu, khabar angin itu, pembantu ke apa sajalah. You don't want to be party crashers (kamu jangan jadi macam tetamu tak diundang).

"Orang sedang menghadapi satu peristiwa yang bermakna, bersejarah, memberi scroll (untuk ijazah), awak nak bawa berita yang khabar angin sebenarnya. Saya rasa tidak sesuai.

"Kalau inginkan penjelasan tentang isu ini, kita akan bincang kemudian. Setiausaha akhbar saya akan undang kamu semua.

"Tapi bukan pada hari ni, kamu tidak mahu bersikap menghormati tuan rumah. Di hari perkahwinan, kamu datang sebagai tetamu tak diundang dan tanya bila nak bercerai," katanya dalam campuran bahasa Melayu dan Inggeris.

Semalam, salah seorang pembantu Maszlee mengesahkan dengan Malaysiakini bahawa menteri itu bersetuju untuk meletakkan jawatan sebagai presiden UIA.


Baca: Maszlee setuju letak jawatan presiden UIA


Pembantu itu berkata Maszlee akan berbuat demikian selepas mendapat pengganti yang sesuai dan selepas minggu konvokesyen universiti itu berakhir.

Bagaimanapun, UIA menafikan perkara itu dan mengatakan tidak dimaklumkan mengenai hasrat Mazslee untuk melepaskan jawatan.

Maszlee sebelum ini menerima tekanan sejak dilantik sebagai presiden UIA pada September.

Pengkritik termasuk kumpulan mahasiswa berkata pelantikan itu melanggar manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) yang menjamin autonomi universiti, selain mempunyai konflik kepentingan memandangkan Maszlee adalah menteri pendidikan.

Maszlee menolak dakwaan tersebut dan menegaskan pelantikannya dibuat oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah atas nasihat perdana penteri.

UIA juga menyokong pelantikan tersebut dengan mengatakan Maszlee pernah berkhidmat di universiti itu sebagai pensyarah dan setuju untuk berkhidmat selama tiga tahun sebagai presiden tanpa bayaran.

Lihat Komen
ADS