Polis juga tidak objektif, Suhakam jawab Norian
Sikap polis yang tidak memberikan perhatian kepada laporan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung perhimpunan di Lebuhraya Kesas menunjukkan pasukan itu tidak objektif, kata seorang pesuruhjayanya.
"Sepatutnya mereka memberi perhatian kepada laporan itu, terutama cadangan-cadangan yang bertujuan memperbaiki imej polis," kata Profesor Hamdan Adnan kepada malaysiakini , mengulas kenyataan ringkas Ketua Polis Negara hari ini.
Sikap polis yang tidak memberikan perhatian kepada laporan siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung perhimpunan di Lebuhraya Kesas menunjukkan pasukan itu tidak objektif, kata seorang pesuruhjayanya.
"Sepatutnya mereka memberi perhatian kepada laporan itu, terutama cadangan-cadangan yang bertujuan memperbaiki imej polis," kata Profesor Hamdan Adnan kepada malaysiakini , mengulas kenyataan ringkas Ketua Polis Negara hari ini.
Dalam laporan setebal 66 halaman yang diumumkan pada 20 Ogos, Suhakam antara lain mencadangkan polis tidak menggunakan kekerasan ketika menyuraikan demonstrasi aman dan bersikap lebih longgar apabila mengeluarkan permit perhimpunan awam.
Diminta mengulas laporan suruhanjaya itu, Tan Sri Norian Mai berkata: "Saya sebenarnya tidak begitu memberikan perhatian kepada laporan itu kerana ia berat sebelah dan tidak berpijak di bumi, itu saja."
Beliau juga dilaporkan enggan mengulas lanjut dengan alasan sudah terlalu banyak pihak memberikan pendapat mereka mengenai laporan itu.
Hamdan petang ini berkata, seharusnya polis melihat laporan itu dengan fikiran yang terbuka.
Merampas harta persendirian
"Kita (Suhakam) membuat laporan itu berdasarkan keterangan daripada semua yang terlibat, termasuklah anggota polis sendiri. Maka, laporan itu bersifat objektif dan bukannya hanya mendengar (keterangan) daripada satu pihak," katanya.
Seramai 46 saksi dipanggil, termasuk 16 anggota polis, Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail, dua anggota Dewan Rakyat pembangkang dan seorang pelajar perempuan, berumur 17 tahun.
Menurut Hamdan lagi, badan hak asasi itu hanya menjalankan tugasnya untuk menangani isu-isu hak asasi di negara ini.
"Laporan itu akan diserahkan kepada Dewan Rakyat (sesi akan datang) dan kita lihatlah tindakan yang akan diambil nanti," katanya.
Berdasarkan siasatan awam selama empat bulan mulai November tahun lalu, suruhanjaya itu mendapati pencabulan hak asasi oleh anggota polis seperti menggunakan kekerasan terhadap mereka yang berada di lebuhraya itu, menyebabkan kerosakan serta merampas harta persendirian, melengahkan rawatan terhadap tahanan dan kegagalan memberi ubat kepada mereka yang cedera.
Polis menahan 125 orang, iaitu 119 pada hari perhimpunan 5 November dan enam lagi pada malam sebelumnya, termasuk penganjur. Perhimpunan yang dijadualkan di sekeping tanah milik persendirian di Jalan Kebun, Klang dihalang polis di lebuh raya berkenaan sehingga menyebabkan kesesakan teruk jalan raya.

