Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zaid mohon maaf pada Daim, nak berhenti menulis
Diterbitkan:  Nov 10, 2018 6:39 PM
Dikemaskini: 10:39 AM

Bekas menteri, Zaid Ibrahim hari ini menarik semula kenyataan yang mengatakan Daim Zainuddin dan rakan-rakan bilionair bekas menteri kewangan itu mengawal negara ini.

Menulis di blognya, Zaid malah mengucapkan selamat tinggal kepada rakyat Malaysia dengan mengatakan ia bakal menjadi tulisannya yang terakhir.

"Saya kesal kenyataan saya yang tak adil dan meminta maaf kepada perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Daim atas tulisan saya yang telah melukakan mereka.

"Selama bertahun-tahun menulis, saya berhati-hati dalam memastikan ketepatan maklumat yang saya terima, tetapi yang ini jelas salah dan telah melepasi garis penulisan yang bertanggungjawab. Saya sangat kesal.

"Kepada pembaca saya: Saya telah memutuskan yang terbaik demi maruah dan kebaikan keluarga saya yang saya akan berhenti menulis sekali.

"Sukar untuk menulis dengan kejujuran dan keberanian tanpa mengganggu atau melukakan perasaan seseorang.

"Bukan saja saya akan berhenti menulis sama sekali, saya tidak lagi menjadi ahli parti politik. Saya telah menghabiskan beberapa tahun dalam politik, saya fikir saya boleh mengubah sikit negara ini, tetapi ia tidak akan berlaku," kata Zaid dalam satu kenyataan yang diterbitkan oleh Free Malaysia Today.

Langkah Zaid menarik balik kenyataannya dibuat selepas beliau mengatakan kenyataannya sebelum ini tidak ditujukan kepada Mahathir, sebaliknya kepada Daim dan rakan-rakannya.


Baca: Zaid maksudkan Daim dan rakan bilionair tadbir k'jaan, bukan Dr M


Bekas menteri itu mendakwa beliau telah dikritik hebat kerana kenyataan tersebut.

"Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggelar dan mengatakan kenyataan saya tidak diperlukan kerana ia tidak benar dan tidak berdasarkan fakta. 

"Beliau mencadangkan supaya saya menarik balik. Kemudian rakan-rakan terdekat saya bertanya mengapa saya memilih untuk bergaduh dengan begitu banyak orang.

"Malah, ahli keluarga saya tidak gembira. Mereka mengatakan tak akan lagi bersama di meja makan jika saya terus memberikan pendapat tentang orang berkuasa di negara ini," katanya.

Zaid berkata beliau kini akan memberi tumpuan untuk mencari cara bagi menebus semula 'hutang' yang dikumpulkannya sejak bertahun-tahun dalam lapangan politik.

Sebelum ini Zaid mempunyai sejarah politik berwarna-warni sejak dipecat daripada Umno pada tahun 2008.

Beliau kemudian menyertai PKR sebelum akhirnya menyertai DAP pada tahun 2017. 

Bagaimanapun, ahli politik yang berasal dari Kelantan itu tidak dipilih sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-14 lalu.

Lihat Komen
ADS