Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Berjanji gagal laksana, kemudian minta maaf.

Kemudian menyalahkan pentadbiran BN kerana kegagalan itu. Sedangkan mereka sendiri yang lemah.

Senang sangat memerintah kalau macam ini.

Saya ingin beritahu Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan - sejak dulu lagi iaitu sebelum Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah - PTPTN sudah tahu bahawa sukar untuk melaksanakan dasar memulakan bayaran pada tangga gaji RM4,000.

PTPTN sudah lama membuat kajian. Waktu BN mengendalikan PTPTN, kita menghantar pegawai ke luar negara untuk mengkaji pelbagai perkara termasuk cadangan ini. Jadi PTPTN sudah tahu ia sukar kerana membebankan badan itu.

Namun dengan hebatnya pengerusi PTPTN kerajaan PH mengumumkan untuk membuat reformasi pada PTPTN. Saya teruja juga mahu mengikutinya sebab mungkin ada idea baik yang akan Wan Saiful bawa, yang gagal saya lakukan sewaktu mengendalikan PTPTN.

Namun yang kita dengar hari ini ialah permohonan maaf.

Sebenarnya saya ingin beritahu - Wan Saiful hanya minta pengurusan dan pegawai PTPTN mengkaji manifesto PH. Pastilah jawapannya "gagal dilaksana" kerana PTPTN sudah lama membuat kajian tentangnya.


Baca: Pengerusi PTPTN mohon maaf gagal tunai janji


Sewaktu pentadbiran dulu, PTPTN ke arah menjadi badan pembiaya pendidikan utama di Malaysia. Pelbagai jabatan dan agensi yang menyediakan pinjaman pendidikan mendapat nasihat dan kerjasama daripada PTPTN.

Malah banyak negara luar yang datang untuk mengkaji apa yang PTPTN lakukan serta meminta bantuan dan pandangan berhubung bagaimana melaksanakannya, termasuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi). Ini menunjukkan dasar PTPTN memang baik.

Namun begitu saya tak nafikan ada penambahbaikan yang perlu dibuat.

Tetapi sehingga hari ini tiada dasar baru yang jelas daripada Wan Saiful. Dulu kita lakukan pelbagai pendekatan. Saya ingat ada banyak sidang meja bulat oleh PTPTN dengan pelbagai pihak.

Kita ada banyak cadangan dan semua dikaji PTPTN. Sebab itu PTPTN ketika pentadbiran BN hanya melaksanakan dasar yang memberi kebaikan kepada rakyat.

Memang baik meminta maaf. Namun pelajar dan rakyat yang mengundi PH kerana terpengaruh dengan janji mereka tetap ditipu.


SHAMSUL ANUAR NASARAH adalah ketua penerangan Umno, anggota parlimen Lenggong dan bekas pengerusi PTPTN.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS