Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Singapura beri nama orkid sempena Dr M, isteri

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh alma mater, National University of Singapore (NUS), semasa beliau melakukan lawatan rasmi ke republik ini mulai Selasa ini.

Dalam kenyataan semalam, Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura berkata Dr Mahathir akan melakukan lawatan rasmi dua hari ke negara ini atas jemputan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Majlis pengurniaan ijazah itu akan diadakan pada hari kedua lawatan beliau.

Pada hari pertama, Dr Mahathir akan menghadiri upacara sambutan, mengunjungi Presiden Halimah Yacob dan mengadakan perjumpaan dengan Lee Hsien Loong, menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian berkenaan, Lee dan isteri akan meraikan Dr Mahathir serta isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, pada majlis jamuan tengah hari rasmi.

Sejenis orkid juga akan diberi nama dengan mengambil sempena nama Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah, kata kementerian itu.

Pada hari berikutnya, Dr Mahathir akan diraikan pada majlis jamuan tengah hari oleh Menteri Kanan Emeritus,Goh Chok Tong.

Dalam lawatan itu, Dr Mahathir akan turut diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS