Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bebaskan peminjam dari belenggu PTPTN'
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 1:04 PM
Dikemaskini: 5:04 AM

Menganggap kerajaan PH sedang memeras golongan muda yang dibelenggu hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Pemuda PAS sebaliknya berpendapat ada cara yang wajar diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khirudin berkata sepatutnya apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan ialah menggembleng kemampuan golongan terbabit untuk membangunkan negara.

"Bebaskan mereka dengan melupuskan hutang tersebut, serta perkasakan semula danasiswa dan biasiswa, seterusnya menuju kepada pendidikan percuma

"Ini pelaburan yang pasti tidak akan rugi, malah sejarah menyaksikan ketika Malaysia mula dibangunkan, satu per empat belanjawan negara diperuntukkan untuk bidang pendidikan.

"Tetapi setelah itu dikuncupkan oleh mentaliti kapitalis yang menjebaknya ke kancah industri liberalisasi pendidikan. Maka super kayalah para kroni, yang melaratnya ialah rakyat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Isu PTPTN menjadi satu daripada fokus utama ditawarkan PH menjelang PRU ke-14 lalu dan menyaksikan gabungan pembangkang berjaya menundukkan dominasi BN di peringkat pusat buat kali pertama sejak lebih 60 tahun.

Bagaimanapun selepas membentuk kerajaan isu PTPTN kekal diperkatakan dan kini kelihatan membelit kerajaan sendiri.

Bukan sekadar beban individu

Semalam Malaysiakini melaporkan Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan memohon maaf kerana tidak dapat menunaikan janji berkaitan penangguhan bayaran balik pinjaman kepada seseorang yang bergaji kurang daripada RM4,000 sebulan.

Hal itu ada diikrarkan dalam manifesto PH dulu.

Khairil Nizam berkata kerajaan perlu mengubah mentaliti mereka dengan memansuhkan semua dasar yang tidak memacu potensi dan keupayaan golongan terpelajar atau graduan di negara ini.

Katanya golongan tersebut seharusnya dilihat sebagai aset, sekali gus dipersiapkan untuk menjadi pencorak kegemilangan masa depan negara.

"Malangnya selama ini, pengenalan Akta Pengajian Tinggi Swasta dan Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara membantut dan menghambakan golongan tersebut.

"Kesannya sekarang, rata-rata graduan memikul hutang pengajian yang bukan saja menjadi bebanan individu, malah juga terhadap negara," katanya.

Menurut Khairil Nizam lagi amat penting kerajaan baru Malaysia menunjukkan kesungguhan politik bagi melenyapkan terus kesilapan lampau.

"Hakikatnya, hampir RM50 bilion yang telah dihutangkan selama 20 tahun oleh PTPTN itu bersumberkan daripada wang tabungan rakyat juga.

"Ia telah memewahkan sebahagian kecil kroni, tetapi menyebabkan penderitaan kepada rakyat terbanyak.

"Bahkan, untuk menghalalkan pelupusan RM8 bilion hutang tertunggak - termasuk RM4.2 bilion daripada 663,000 graduan yang sedang diburu dan disenaraihitam - jauh lebih kecil berbanding ketirisan yang berlaku dalam akaun kerajaan," katanya.

Khairil Nizam juga mengulangi gesaan PAS supaya kerajaan menubuhkan Perbadanan Wakaf Pendidikan Negara sebagai usaha menangani keperluan kewangan sektor pendidikan.

Untuk rekod cadangan penubuhan badan tersebut dikemukakan sejak beberapa tahun lalu dan turut dibangkitkan Umno Johor pada Dis tahun lalu.

Lihat Komen
ADS