Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Klinik buasir didakwa jadi tempat tukar resit undi dengan wang
Diterbitkan:  Nov 11, 2018 2:05 PM
Dikemaskini: 6:15 AM

PEMILIHAN PKR | Dakwaan berlaku politik wang timbul ketika pemilihan PKR Lanang semalam selepas sekumpulan anggota parti didakwa menukar resit undi mereka dengan wang di klinik buasir berhampiran pusat pengundian di Sibu, Sarawak.

Sumber PKR mendakwa sekumpulan pengundi berbangsa Iban membawa resit ke klinik berkenaan dan menyerahkannya kepada wakil calon ketua cabang yang bertanding.

Difahamkan bahawa pusat pengundian PKR Lanang berhampiran dengan klinik buasir itu.

Laporan polis berhubung dakwaan itu dibuat di balai polis Sibu awal hari ini oleh Shatiri Mansor yang merupakan wakil calon timbalan presiden PKR Rafizi Ramli.

Menurut laporan itu yang dilihat Malaysiakini, Shatiri mendakwa dia dan lima wakil Rafizi yang lain menyaksikan "aktiviti mencurigakan" yang mereka percayai mempunyai kaitan dengan politik wang dalam pemilihan PKR.

"Dalam perkara ini, kami sedia memberi kerjasama untuk membantu siasatan sekiranya diperlukan bagi menjaga integriti PKR sebagai parti yang menentang politik wang," kata Shatiri dalam laporan polisnya.

Ketika dihubungi, penyelaras pemilihan PKR Sarawak, Desmond Kho berkata jawatankuasa negeri tidak tahu tentang dakwaan pembelian undi.

Beliau memaklumkan bahawa proses pemilihan di Sarawak akan dimuktamadkan hari ini.

"Semoga semua pihak dapat menerima keputisan dengan hati terbuka, menang atau kalah kita semua anggota parti.

"Pemilihan PKR penuh emosi namun ada masanya kita perlu bersatu," katanya kepada Malaysiakini.

Pada hari pertama pemilihan di Sarawak semalam, keputusan bagi cabang Julau digantung selepas jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) mendakwa berlaku 'serangan siber'.

Sementara itu, Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan dibuat berhubung penyalahgunaan kuasa oleh orang luar bagi menjejaskan pemilihan PKR di Lawas.

Terdapat kira-kira 50,000 anggota PKR Sarawak dan 22 cabang, termasuk Lanang, Julau dan Lawas mengundi semalam.

Tujuh lagi cabang PKR di negeri itu akan mengundi hari ini.

[Baca berita asal]

 

Lihat Komen
ADS