Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas dituduh mencabul Shahidan bertakbir dalam mahkamah
Diterbitkan:  Nov 12, 2018 9:53 AM
Dikemaskini: 6:23 AM

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan mencabul seorang gadis bawah umur pada Oktober lepas.

Anggota Parlimen Arau itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan selesai dibacakan kepadanya oleh pegawai mahkamah, dan mohon dibicarakan.

Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM25,000 dan anaknya, Ameer Shafiq serta menantu, Muhamad Lokman Abdul Rashid bertindak sebagai penjamin.

Hakim Johari Hassan membuat keputusan itu selepas mendengar alasan peguam bela, Dhalia Rohana Abdul Latiff.

Dalam hujahnya, Dhalia Rohana berkata Shahidan yang merupakan bekas menteri besar Perlis juga mengetuai delegasi anggota-anggota Parlimen Malaysia ke persidangan antarabangsa.

Justeru katanya tidak mungkin anak guamnya itu melarikan diri atau sengaja tidak hadir untuk menghadapi pertuduhan kecuali mengalami masalah kesihatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Shahidan didakwa melakukan gangguan fizikal dengan menyentuh tangan hingga ke bahu seorang kanak-kanak berumur 15 tahun 7 bulan dalam kenderaan dinaikinya di pekarangan Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar kira-kira jam 11.30 malam pada 20 Okt lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Sebelum itu, Ketua Pendakwa Raya Perlis, Muhamad Nordin Ismail memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang tinggi kerana mengambil kira kes berprofil tinggi dan atas kepentingan umum.

Beliau juga memohon mahkamah menahan pasport antarabangsa tertuduh.

Shahidan yang hadir dengan berkot hitam dan bersongkok diiringi isterinya, Shamsiah Mohd Yassin tiba kira-kira pukul 8.20 pagi bersama kira-kira 50 orang penyokong.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Jan depan untuk mendengar semula sebutan kes itu.

Sebaik mahkamah membuat keputusan, Shahidan meminta izin untuk bercakap dan diberi kebenaran oleh hakim.

Shahidan melahirkan rasa hairan mengapa mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa notis dan membuat pertuduhan tanpa memaklumkan kepada beliau atau peguamnya terlebih dahulu.

"Saya berdoa agar keadilan dan kebenaran ditegakkan…… Allahuakbar," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS