'Tiada grup Whatsapp': Najib persenda Lim, Pua
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak hari ini mempersenda Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pegawai khasnya, Tony Pua kerana mengeluarkan kenyataan bertentangan antara satu sama lain mengenai keputusan Moody untuk mengubah prospek penarafan Petronas.
Najib berkata kedua-dua mereka membuat kenyataan bercanggah walaupun berada dalam kementerian yang sama.
“Mungkin mereka tiada grup Whatsapp,” tulis Najib di laman Facebook hari ini, sambil melampirkan dua paparan skrin berita yang berkaitan untuk menyokong dakwaanya.
Minggu lalu, Moody's Investors Service mengesahkan penarafan A1 penerbit tempatan dan mata wang asing tidak bercagar kanan Petronas, tetapi mengubah prospek daripada stabil kepada negatif.
Tindakan penarafan itu disebabkan oleh pengumuman kerajaan bahawa Petronas akan membayar dividen sebanyak RM26 bilion pada 2018 dan RM54 bilion (termasuk dividen istimewa sebanyak RM30 bilion) pada 2019.
Terdahulu hari ini, Lim berkata beliau tidak bersetuju dengan keputusan Moody atas alasan bahawa prestasi perniagaan Petronas tidak terjejas dengan langkah itu.
Namun, Pua pula pada Jumaat lalu, memberitahu sebuah forum perniagaan di Kuala Lumpur bahawa tindakan itu bukan penurunan tetapi hanya prospek negatif.
Menurut Pua, Petronas mampu membayar dividen khas satu kali sebanyak RM30 bilion pada 2019 kerana rizab tunainya lebih daripada mencukupi.
Dalam hantaran berasingan, Najib mendakwa bahawa Pakatan Harapan (PH) kini terpaksa mengakui bahawa mereka memfitnahnya pada masa lalu.
Beliau merujuk laporan Berita Harian yang memetik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, sebagai berkata perangkaan semasa menunjukkan jumlah hartanah dimiliki warga asing di seluruh negara setakat ini tidak melebihi satu peratus.
Najib berkata pada suatu ketika dahulu, pemimpin PH menuduhnya menjual tanah kepada warga asing dan mengimbas semula tuduhan-tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.
Antara lain, bekas perdana menteri itu berkata beliau dituduh: "Najib jual negara. Sampai bila kita nak jual dan gadai tanah kita? Undur Najib!
"Warga asing dah ambil alih Malaysia! Selamatkan Malaysia!
“Mungkin Tuhan nak tunjuk, apa yang mereka fitnah saya dulu, kini satu demi satu mereka terpaksalah mengaku,” katanya.

